Tiada lagi KTRW FC di Liga Super

9 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia (Liga M) apabila tidak diberikan Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB).

Keputusan itu dibuat selepas KTRW FC mengemukakan permohonan yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pemangku Pengerusi FIB MFL, Hussaini Hussin menerusi satu kenyataan hari ini mengesahkan kegagalan KTRW FC selepas mengambil kira enam kriteria utama iaitu Sukan, Infrastruktur, Personel dan Pentadbiran, Perundangan, Kewangan serta Perniagaan.

“Proses penilaian telah dilaksanakan berdasarkan keseluruhan dokumen permohonan yang telah dikemukakan oleh kelab dengan mengambil kira tahap pematuhan terhadap Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2025–2026 (MFL CLR).

“Lesen yang diluluskan adalah terhad kepada satu musim pertandingan sahaja untuk pertandingan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan MFL  Liga Super, iaitu bagi musim 2026–2027.

“Selaras dengan sub-kriteria kewangan F.03 dan F.04 di bawah MFL CLR, tarikh akhir bagi pengisytiharan tunggakan kewangan adalah pada 31 Disember 2025.

“FIB juga mengesahkan bahawa Kelantan The Real Warriors FC tidak diberikan Lesen Kebangsaan kerana permohonan yang dikemukakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL,” katanya.

Hasil penilaian, Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab MFL memutuskan bahawa tujuh kelab Liga Super berjaya mendapatkan Lesen AFC dan Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC.

Empat kelab pula diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ adalah Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC mengikut artikel 8.2 MFL CLR.

Keempat-empat kelab tersebut dikehendaki mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai 2026 dan jika gagal, perkara tersebut akan dirujuk semula kepada pihak FIB untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC dikenakan denda sebanyak RM 45,000 di bawah Artikel 8 (f) MFL CLR.

FIB turut mengumumkan empat kelab daripada Liga A1 Semi Pro iaitu Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa dengan merujuk kepada Artikel 15 untuk Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2025 – 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |