TFC beri bayangan tinggalkan Liga Super

5 hours ago 5

BIARPUN mampu bersaing baik dengan menduduki tangga kelima, Terengganu FC (TFC) tidak menolak kemungkinan terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super seterusnya beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro pada musim depan ekoran masalah kewangan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kemungkinan itu sedang diperhalusi sekiranya kemelut kewangan yang sedang melanda TFC kini gagal diatasi sehingga akhir musim ini.

“Kita tidak menolak kemungkinan beraksi dalam Liga A1, tetapi ia bukan keputusan mudah kerana banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu. Isu kewangan yang masih belum selesai terus menjadi cabaran utama buat pasukan,” katanya .

Terdahulu, TFC pernah berdepan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan tunggakan bayaran melibatkan pemain import.

Hishamuddin berkata, masalah kewangan yang sedang membelenggu skuad Sang Penyu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dan perlu ditangani secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu itu berkata, PBSNT akur segala pilihan termasuk menarik diri daripada Liga Super perlu dilakukan sebagai jalan akhir kepada penstrukturan semula pasukan.

“Sekiranya TFC benar-benar beraksi dalam Liga A1 musim depan, fokus utama akan lebih terarah kepada pembangunan pemain. Selain itu, kita akan berusaha untuk memperkukuh semula kedudukan kewangan pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, prestasi semasa skuad Sang Penyu memuaskan dan masih berada di landasan tepat mencapai sasaran untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kelima. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |