KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengekalkan perintah injunksi larangan terhadap Telegram Messenger Inc. bagi menghalang mereka daripada terus menerbitkan atau menyebarkan 33 artikel berbahaya, sehingga rayuan selesai.
Perintah injunksi tersebut bertujuan untuk menghentikan penyebaran kandungan berbahaya melalui dua saluran dalam aplikasi mesej segera tersebut iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas atas alasan keselamatan awam perlu diberi keutamaan berbanding kepentingan individu.
Tanpa injunksi tersebut, dikuatiri kandungan berbahaya yang mengancam keselamatan negara akan terus disebarkan dan saluran baharu boleh dibuka sewenang-wenangnya sekaligus merosakkan integriti sistem undang-undang negara.
Dalam penghakimannya, Hakim Mahazan Mat Taib berkata, injunksi sementara perlu dikekalkan bagi memastikan rayuan plaintif (MCMC) tidak menjadi sia-sia sekiranya kandungan berbahaya tersebut terus disebarkan.
“Sebarang kemudaratan yang dihadapi oleh pihak defendan adalah amat minimum berbanding dengan risiko besar yang akan timbul sekiranya kandungan berbahaya ini terus disebarkan. Pampasan kewangan tidak mampu memulihkan kerosakan yang ditimbulkan,” katanya.
Mahkamah juga menegur tindakan Telegram Messenger Inc sebagai defendan ketiga yang didapati telah membuka semula atau mengekalkan akses terhadap saluran-saluran tersebut walaupun keputusan injunksi telah diberikan sebelum ini.
Hakim Mahazan berkata, tindakan defendan yang cuba mengehadkan pengertian perintah tersebut hanya kepada konteks tertentu menunjukkan usaha untuk memanipulasi perintah mahkamah.
“Mahkamah tidak boleh membenarkan keadaan di mana pihak yang telah diberi amaran terus membenarkan penyebaran kandungan yang sama hanya kerana ia sedikit berbeza bentuknya daripada kandungan asal,” katanya.
Beliau berkata, injunksi tersebut bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi untuk memastikan perintah mahkamah dilaksanakan dengan berkesan dan proses rayuan dijalankan dengan integriti yang sewajarnya.
Selain itu, Hakim Mahazan turut mengingatkan pihak yang mewakili pengendali platform supaya lebih peka dan menghormati perlembagaan Malaysia yang mengiktiraf kepelbagaian kaum dan agama.
“Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
“Oleh itu, adalah tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam proses kehakiman di negara ini untuk menghormati nilai-nilai asas yang menjadi teras undang-undang negara,” katanya.
Pada 21 Mei, MCMC telah memfailkan writ saman melalui firma guaman S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi, menamakan individu yang tidak dikenali (Pentadbir Saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas) serta Telegram Messenger Inc. sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan writ saman, MCMC memohon pengisytiharan defendan pertama dan kedua telah membenarkan dan memudahkan penggunaan saluran-saluran tersebut untuk menerbitkan serta menyebarkan kandungan berbahaya terhadap pihak-pihak di Malaysia.
MCMC juga memohon pengisytiharan defendan ketiga (Telegram Messenger Inc.) telah membantu dan menyumbang kepada penyebaran kandungan tersebut kerana gagal memadamkan saluran-saluran itu apabila diperintahkan oleh undang-undang.
Pada 19 Jun, MCMC mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan tegas dengan memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, Edisi Siasat dan Edisi Khas.
MCMC menyatakan bahawa tindakan ini adalah yang pertama seumpamanya terhadap penyedia platform media sosial, terutamanya kerana Telegram memegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)]. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5








![[VIDEO] ‘Siapa kawan dia, pemalas masak telur kicap je’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/telur-kicap.jpeg)








































