PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menarik balik serta-merta tauliah seorang agamawan dan mengharamkannya daripada mengajar agama di negeri itu jika terbukti terlibat dalam insiden memukul seorang pelajar di Kajang, baru-baru ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau telah mengarahkan JAIS untuk menyemak sama ada individu berkenaan memegang sebarang bentuk tauliah mengajar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Sekiranya benar agamawan atau guru ini adalah pemegang tauliah MAIS, maka, tauliah ini wajar ditarik balik serta-merta, dan beliau diharamkan daripada mengajar agama di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menyeru semua agamawan dan guru yang telah diberikan tauliah mengajar MAIS di Selangor agar sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam.
“(Ini termasuk) menjauhi segala tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan pada para agamawan ataupun guru,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi mengecam segala bentuk kekerasan, terutama apabila pelakunya membawa imej agamawan atau guru.
“Saya amat kecewa dengan tindakan ganas sebegini yang jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang menuntut penyelesaian secara rasional dan berdasarkan asas perundangan yang berkuatkuasa, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Pada Jumaat lepas Kosmo! melaporkan, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah dalam satu kejadian selisih faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.
Mangsa mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang. – KOSMO! ONLINE