Tambahan RM5 juta pasang CCTV, tingkat keselamatan – KPM

4 hours ago 3

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi memasang sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah dikenal pasti seluruh negara dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan dan menangani isu disiplin murid.

KPM berkata, langkah tambahan itu akan dilaksanakan pihaknya dalam masa terdekat untuk meningkatkan keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid.

Peruntukan itu juga adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini.

“Selain itu, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada bulan November.

“Ia dapat membantu memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KPM berkata, seramai 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama, sekali gus mengurangkan beban tugas Warden Asrama.

“Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah akan diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah.

“PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM,” katanya.

Selain itu, fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN)
dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasa bertujuan membantu daripada aspek psikososial dalam situasi krisis.

“Guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah.

“KPM juga akan meningkatkan peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah,” jelasnya.

Pada waktu ini, peraturan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah dan membuang sekolah.

KPM berkata, Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan.

“Pada waktu ini KPM sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid.

“Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan diteliti semula bagi tujuan tambah baik. Sistem ini perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya,” katanya.

KPM berkata, institusi pendidikan diminta untuk memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.

“Suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian. Sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit.

“Inisiatif ‘kotak suara murid’ adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Pada masa sama, KPM berkata, Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |