Tahun bahagia untuk guru, Disember cuma 4 hari sekolah

1 day ago 7

PETALING JAYA – Susunan cuti penggal sekolah yang panjang, ditambah pula dengan banyak cuti umum yang jatuh berhampiran hujung minggu membuatkan ramai guru ‘tersenyum’.

Situasi itu bukan sahaja memudahkan perancangan rehat dan urusan keluarga, malah secara tidak langsung mengurangkan bilangan hari persekolahan dalam beberapa bulan tertentu sepanjang tahun 2026.

Menerusi hantaran seorang guru dikenali sebagai @DhaniahZahari di aplikasi Thread, dia memuat naik satu paparan bertajuk Bilangan Hari Persekolahan Tahun 2026.

Gambar tersebut memaparkan pecahan hari persekolahan mengikut bulan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya termasuk guru-guru dan ibu bapa.

Antara yang menarik perhatian, beberapa bulan dinyatakan hanya mempunyai 15 hari persekolahan seperti Januari, Februari dan Mac, manakala Disember pula disebut hanya empat hari persekolahan.

Paparan itu turut menyenaraikan April dan Oktober masing-masing 22 hari, Julai 23 hari serta Ogos dan November masing-masing 19 hari, selain mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 202 hari persekolahan.

Pada masa sama, tertera nota bahawa jumlah tersebut tidak termasuk cuti peristiwa yang akan diambil oleh pihak sekolah.

“Kebahagiaan cikgu-cikgu untuk tahun ini,” tulis guru tersebut di ruangan kapsyen.

Hantaran itu mengundang pelbagai komen orang ramai apabila ada yang menyifatkan 2026 sebagai tahun ’emas’ buat para guru.

“Ramai lagilah yang nak jadi cikgu lepas ni bila tengok gambar ni. Selamat bercuti cikgu semua,” komen Adell.

“Okay lah. Ganti cuti hujung tahun 2025-2026 yang tiga minggu ni saja. Selalu cuti hujung tahun enam minggu tau,” komen Qawra.

“Sebenarnya yang tak ada dalam senarai tu lagi patut cikgu-cikgu lagi takut. Segala hari anugerah, hari sukan, hari merdeka, restu ilmu, kelas tambahan, perkampungan ilmu, segala mak nenek latihan,” komen Amany. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |