Status SUKMA 2026 dibincangkan 30 April

1 day ago 9

KUALA LUMPUR – Persoalan mengenai status penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan diketahui selepas 30 April ini sebaik sahaja Jawatankuasa Tertinggi SUKMA mengadakan mesyuarat khas.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menjelaskan, pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada kerajaan negeri Selangor selaku tuan rumah melibatkan apa sahaja perkara yang berbangkit.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA merupakan platform terbaik untuk membuat keputusan yang turut melibatkan semua negeri dalam Malaysia, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Insya-Allah jika tidak ada sebarang halangan, mungkin pada 30 April ini kita akan bersama-sama membincangkan langkah untuk ke hadapan, termasuk perkara-perkara yang wajar untuk diambil kira.

“Itu (mesyuarat) adalah platform terbaik untuk kita buat keputusan yang melibatkan EXCO dari semua negeri dalam Malaysia, MSN, MOM dan ISN (Institut Sukan Negara) serta badan-badan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bangunan Pusat Prestasi Tinggi Negara dan Dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan (MYTP) di ISN, Bukit Jalil hari ini.

Sementara itu, Taufiq berkata, mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai harapan kerajaan Selangor supaya KBS menghulurkan dana seperti yang dinyatakan EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi.

“Itu (dana) kita akan bincang secara menyeluruh. Berkenaan dengan dana, itu adalah keputusan kabinet sebelum ini dan perbincangan itu kita akan buka untuk sebarang pandangan serta cadangan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan kelengkapan fasiliti serta teknologi yang ada dalam bangunan Pusat Prestasi Tinggi Negara merupakan satu langkah bagi memastikan pembangunan atlet berjalan lancar.

“Pusat Prestasi Tinggi ini bukan sekadar bangunan semata-mata tetapi dipenuhi teknologi-teknologi yang tinggi bagi memastikan pembangunan atlet dan sukan negara berada pada landasan terbaik.

“Dokumen Pelan Bakat Sukan Kebangsaan pula merupakan salah satu modul yang menjadi rujukan utama dalam memperkukuhkan pembangunan bakat sukan secara sistematik bagi melahirkan atlet elit secara konsisten,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |