SRG sedia lawan Fnatic ONIC PH

1 month ago 62

SELANGOR Red Giants (SRG) berada dalam momentum terbaik untuk menempa kejayaan di pentas Kejohanan Dunia Mobile Legends M6 selepas mengharungi perjalanan cukup mencabar pada pusingan awal peringkat Swiss kelmarin.

SRG yang turun selaku juara Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL) Musim ke-14 melangkah ke pusingan kalah mati dengan aksi cukup mendebarkan apabila menampilkan kebangkitan menumpaskan wakil Kemboja, CFU GAMING menerusi keputusan 2-1.

Kemenangan itu menaikkan semangat SRG untuk menjadi wakil Malaysia pertama menjadi juara dunia M6, namun perlu berhadapan gergasi e-Sukan Filipina, Fnatic ONIC PH dahulu di peringkat kalah mati hari ini.

Pengurus PSRG, Amir Syafiq Abd. Rashid berkata, moral para pemainnya dalam keadaan tertinggi dan mereka sudah bersiap sedia untuk mengatasi pasukan No. 1 dari Filipina itu.

“Ini kali pertama SRG akan bertemu Fnatic ONIC PH dan ramai nak kami berdepan mereka terutama di M6. Akhirnya ia menjadi kenyataan dan sudah semestinya SRG akan membuat persiapan terbaik untuk menghadapi mereka.

“Kita tahu Fnatic turun ke M6 dengan reputasi cukup besar, malahan di peringkat perlawanan Swiss juga mereka melakar kemenangan bersih 3-0. Saya cukup yakin perlawanan tersebut tidak mudah dan akan menjadi pertembungan menarik untuk disaksikan.

“Saya harap perjalanan dan pertempuran cukup mencabar pada peringkat Swiss dapat memberi nilai tambah kepada pemain untuk tampil lebih agresif serta cukup berdisiplin dalam mengatur serangan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengenai strategi berdepan Fnatic ONIC PH, Amir mengakui segala perancangan telahpun dirancang dan setiap pemain tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencipta kemenangan.

“Keputusan bukan hanya kepada jurulatih tetapi pemain berhak memutuskan untuk mereka menggunakan hero yang mereka nak gunakan.

“Pada perlawanan tersebut, pemain tahu hero yang mana bersesuaian dengan cara permainan mereka dan jurulatih hanya memberi panduan dalam pemilihan strategi,” tambahnya.

Satu lagi pasukan negara, Team Vamos turut melangkah ke peringkat kalah mati dan berdepan pasukan terbaik dari Myanmar, Falcon Esports.

Read Entire Article
Pertanian | | | |