Sorok 122kg heroin dalam kotak pembesar suara

2 weeks ago 15

SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi empat kes berasingan, yang melibatkan sitaan dadah seberat 145 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM13 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa) Raizam Setapa @Mustapha berkata, dalam kes pertama pada 13 Mac lalu, sekitar pukul 9.45 malam, sepasukan anggota bersama Anjing Pengesan Dadah (K9) Cawangan Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Ibu Pejabat telah melakukan pemeriksaan di sebuah gudang syarikat logistik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, Sepang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan terhadap tiga kotak tersebut, pasukan telah menjumpai lima bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan anggaran seberat 5,105 gram yang dianggarkan bernilai RM163,360.

“Methamphetamine tersebut disorokkan bersama barang dagangan yang diikrar sebagai ‘safety shoes boot’ dan dipercayai untuk dieksport ke luar negara,” katanya dalam sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM Kampung Jijan di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam kes kedua, JKDM menyerbu dua kondominium di Kuala Lumpur, masing-masing di Salak Selatan dan Sentul pada 3 dan 7 April lalu membabitkan hampir 5,000 gram dadah jenis MDMA bernilai RM835,000,6, 176 gram ketamin dan 763 gram ganja berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM311,165.50.

“Kes ketiga pula melibatkan serbuan di sebuah syarikat penghantaran di Subang Jaya pada 10 April lalu. Hasil pemeriksaan ke atas satu kotak parcel mengandungi alas kaki telah menjumpai bahan serbuk kristal jernih disyaki dadah Methamphetamine seberat 5,106 gram dan bernilai RM163, 392,” katanya.

Namun kata Raizam, kejayaan terbesar dicatatkan dalam kes keempat apabila pasukan narkotik JKDM menyerbu gudang sebuah syarikat pemindahan di Batu Caves, Selangor pada 10 April lalu sekali gus menemukan 344 ketulan mampat serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 122.85 kg dianggarkan bernilai RM11.5 juta dijumpai di dalam empat kotak berisi pembesar suara yang telah diubah suai.

“Ini merupakan satu modus operandi baharu menggunakan perkhidmatan mover untuk menghantar barangan dalam kontena ke Pelabuhan Klang. Daripada hasil siasatan dipercayai dadah tersebut untuk di eksport ke Australia,” tambah Raizam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |