‘Sepatutnya raya ini kami sedondon tema biru laut’

5 hours ago 1

TAPAH – Kedatangan Syawal kurang dua minggu lagi sepatutnya dinantikan dengan meriah dan keceriaan namun tidak bagi Nur Atiqah Qistina Abdul Aziz apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan dua insan tersayang dalam sekelip mata.

Dalam kejadian pada pukul 7.46 pagi itu, bapa Nur Atiqah Qistina iaitu Abdul Aziz Shafie, 45, dan abangnya, Muhammad Alif Hakymie, 23, rentung dalam nahas membabitkan dua treler di Kilometer 331.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Menurut remaja berusia 17 tahun itu, dia seperti tidak percaya dan bagai hilang punca apabila mengetahui bapa dan abangnya terkorban dalam nahas tersebut.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas seorang jiran datang ke sekolah untuk membawanya pulang ke rumah.

“Saya rasa sedih dan tidak sangka mereka akan pergi. Tahun ini rasa macam tak raya walaupun semua persiapan telah dibuat. Baju dan langsir semua ibu sudah siapkan.

“Sepatutnya raya kali ini kami semua pakai baju sedondon dengan tema warna biru laut. Kedatangan Aidilfitri ini suram dan tidak lagi bermakna bila mereka pergi tinggalkan kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tapah, di sini hari ini.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, bapa dan abangnya yang merupakan pemandu dan kelindan treler muatan pasir itu pergi ke Pahang sejak Ahad lalu dan sepatutnya pulang ke rumah mereka di Kampung Pokok Tai Lama, Pendang, Kedah hari ini.

“Abang selalu ikut abah, kadang-kadang lori mereka bawa pasir tapi ada juga bawa barang lain macam beras. Mereka keluar rumah Ahad lalu dan saya dimaklumkan, hari itu jugalah kali terakhir abah menghubungi ibu.

“Kehilangan abah dan abang menyebabkan kami hilang tempat bergantung. Bagaimanapun kami reda dan terima takdir ini,” katanya.

Jenazah kedua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai Lama, Pendang.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd. Fadzil Ismail berkata, pelanggaran melibatkan dua kenderaan berat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |