WASHINGTON – Satu resolusi bertujuan untuk menyekat keupayaan Presiden Donald Trump melancarkan perang ke atas Iran gagal diluluskan oleh Dewan Senat buat kali keempat, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Sekiranya diluluskan, resolusi tersebut akan menghentikan tindakan ketenteraan AS tanpa memerlukan kelulusan Kongres.
Senator-senator menolaknya dengan undian 52-47, sebahagian besarnya berdasarkan sokongan parti yang menguasai dewan tersebut. Dewan Senat diterajui oleh parti pimpinan Trump, Parti Republikan.
Kepimpinan pembangkang daripada Pati Demokrat berkata, mereka merancang untuk memperkenalkan resolusi serupa pada setiap minggu walaupun ia tidak diluluskan, supaya pendirian setiap senator mengenai perang itu dapat direkodkan.
Walaupun kebanyakan Senator Republikan menyekat resolusi tersebut, ada yang berkata, mereka mungkin mengundi menyokong sekiranya perang berterusan selepas bulan ini.
Trump memberikan garis masa berbeza mengenai berapa lama perang itu mungkin berlarutan.
Beliau memberitahu saluran berita Fox News dalam temu bual disiarkan kelmarin bahawa perang Asia Barat ‘hampir berakhir’.
Buat masa ini, hampir setiap Senator Parti Republikan masih menyokong Trump setelah beliau mengarahkan sekatan tentera Amerika Syarikat ke atas pelabuhan Iran.
Senator Republikan, Josh Hawley berkata, beliau percaya konflik Iran perlu ditamatkan segera dan berharap rundingan dalam masa beberapa hari akan datang akan berjaya.
“Itu adalah yang terbaik,” kata Hawley.
Resolusi Kuasa Perang tahun 1973 telah diluluskan oleh Kongres bagi mengekang kemampuan Presiden AS ketika itu, Richard Nixon untuk terus melancarkan perang di Vietnam. – AGENSI

2 hours ago
4











































