PETALING JAYA – Tiada sebarang usaha ‘cover up’ akan berlaku, manakala mana-mana pegawai atau staf yang terlibat isu seleweng dana zakat akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau mengambil maklum laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan bantuan dana zakat di bawah salah satu agensi agama.
Menurutnya, beliau dimaklumkan siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, saya menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“Dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini mengulas laporan bekas kakitangan sebuah badan berkanun direman berhubung kes rasuah bagi kegiatan menyeleweng dana zakat.
Mohd. Naim berkata, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan salah laku tersebut.
“Keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh kepada warga kerja lain serta masyarakat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama.
“Saya menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi agama sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah,” katanya.
Tegas beliau, setiap laporan akan diteliti dan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa peringatan dan teguran telah berulang kali diberikan kepada semua agensi di bawah portfolio hal ehwal agama agar tidak sesekali mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam,” katanya.
Mohd. Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk salah laku ditangani dengan tegas dan telus.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang bekas kakitangan sebuah badan berkanun direman selama empat hari berhubung kes rasuah bagi kegiatan menyeleweng dana zakat berjumlah RM120,000 melibatkan 28 pemohon tidak layak.
Perintah reman sehingga 22 Oktober itu dibenarkan oleh Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pagi semalam.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM2,500 pada Mac lalu, manakala wang itu dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank syarikatnya. – KOSMO! ONLINE