Selangor teliti haram jual vape

1 day ago 6

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan meneliti cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di negeri yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik termasuk jenis fentanyl atau dadah zombie.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin dan Jabatan Kesihatan Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perkara ini bergantung juga dengan peratuan Kerajaan Persekutuan. Cuma saya lihat ia perlu dibawa ke arah perbincangan bersama pihak yang berkaitan.

“Saya perlu dapatkan keseluruhan fakta dan keseluruhan pandangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ehsan Raya Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan vape kerana lesen perniagaan vape berada di bawah pihak berkuasa tempatan.

Ini disebabkan ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape mengandungi bahan dicampur dadah.

Amirudin yang juga Penaung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor berkata, penyalahgunaan dadah di negeri ini masih dalam keadaan terkawal.

“Yang kadang-kala orang uar-uarkan itu adalah data keseluruhan. Data keseluruhan memang wajarlah sebab Selangor ada tujuh juta populasi dan Kelantan mungkin tidak sampai dua juta populasi.

“Tetapi kalau mahu tengok, kita kena tengok data per 100, 000 yang lebih tepat melihat bagaimana penyakit penagihan dadah ini berlaku.

“Baru-baru ini, kita telah mencuba satu alat buat saringan dengan lebih mudah dan kita akan memperbanyakkan saringan supaya dapat kesan individu yang telah terlibat dalam dadah seawal usia muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |