Saya tolong dia bukan sebab nak tunjuk siapa kaya – Ozlynn

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – “Saya tolong bukan sebab dia Azar Azmi.”

Demikian kata pelakon Ozlynn apabila diminta mengulas tentang kenyataan pelakon sensasi Azar Azmi dalam sebuah podcast (audio siar) yang mendedahkan dia adalah insan terawal menghulurkan bantuan ketika kehidupannya sukar.

Menurut Ozlynn atau nama sebenarnya, Rozlinawaty Ismail, 45, bantuan dihulurkan kepada mana-mana individu yang sedang dalam kesusahan tanpa mengira status dan latar belakangnya.

“Saya tolong bukan atas dasar nak tunjuk kita kaya atau apa. Sebagai seorang yang pernah rasa kesusahan dan tahu rasa tiada apa-apa itu, menjadi satu tanggungjawab kita untuk membantu.

“Bukan sebab dia Azar Azmi. Sesiapa saja kalau ada rezeki lebih pasti saya akan kongsi.

“Saya dapat beribu DM (mesej) dari zaman Covid-19 sampailah sekarang. Demi Allah, kalau ada rezeki memang saya akan kongsikan,” katanya.

Meskipun begitu, Ozlynn dalam keadaan sebak memberitahu dia sebenarnya kurang selesa untuk memperbesarkan isu bantuan ini kerana mahu Azar menjalani kehidupan dengan tenang tanpa perlu mengenang kembali kisah silamnya.

“Saya sebenarnya kalau boleh tidak mahu cakap tentang perkara ini. Saya mahu dia tenang-tenang dan gembira dengan kehidupannya sekarang.

“Itu adalah ujian untuk dia. Saya mengharapkan terbaik untuk dia sebab ujian manusia tu lain-lain,” katanya.

Tambah Ozlynn lagi, dia tidak mahu membuka aib seorang sahabat memandang mereka sudah lama berkawan rapat dan kerjaya seni pernah diuruskan oleh pengurus yang sama.

“Saya perlu menjaga harga diri seorang sahabat — aib, maruah dan banyak sisi. Ini kerana saya tidak suka orang bercerita tentang saya, begitu juga saya tidak suka bercerita tentang orang lain.

“Tapi apabila dia sendiri yang bercerita, itu adalah ceritanya. Kami kembali berhubung ketika saya baca mengenai kisahnya.

“Ada satu ketika dia hilang terus, sehinggalah ada satu masa dia hubungi saya. Biasanya saya tidak menjawab nombor tidak dikenali, sehinggalah dia menghantar mesej melalui WhatsApp memberitahu namanya.

“Terus saya hubunginya dan buat panggilan video jadi dari situ bermulanya perkongsian,” tuturnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Ozlynn muncul dalam filem 5 Bomoh bersama barisan bintang terkenal seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Amy Search, Khairy Jamaluddin, Scha Alyahya, Aedy Ashraf, Johan, Ungku Aziz dan Tiara Suraya Rose.

Filem bergenre komedi ini diarahkan oleh Syed Fariz dan bakal menemui penonton di pawagam pada 4 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |