‘Saya tengok pakaian orang lama, saya suka’

1 hour ago 1

PETALING JAYA – Pemilihan busana ala kemban didakwa kurang sopan, penyanyi Mimi Fly akur dengan teguran ramai terhadap penampilannya dalam muzik video (MV) lagu raya, Serumpun yang dianggap tidak sesuai dengan bulan Ramadan mahupun Syawal.

Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham berkata, dia memohon maaf andai ada pihak tersinggung disebabkan terlepas pandang perkara seumpama itu akibat terlampau obses terhadap karya berkenaan.

“Saya tidak berniat mencipta kontroversi tetapi mungkin terlalu fokus kepada mahu hasilkan yang terbaik untuk video muzik ini membuatkan saya tolak ke tepi perkara lain.

“Ketika ini, saya sangat obses dengan karya sendiri. Apapun, saya terima segala komen sama ada baik dan buruk. Kalau ada yang tersinggung saya minta maaf.

“Insya-Allah kalau buat lagu raya lain pada masa akan datang, saya akan memperbaikinya,” katanya kepada media selepas rakaman program Melodi Raya 2025, malam tadi.

Bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu berkata, pembikinan video muzik berkenaan diberi penekanan teliti yang turut menonjolkan elemen pakaian masyarakat dulu-dulu.

“Saya tidak sambil lewa dalam menyediakan pakaian untuk MV Serumpun dengan berkolaborasi bersama pereka fesyen terkenal bagi menyerlahkan pakaian orang terdahulu.

“Saya dah tengok pakaian orang lama dan saya suka. Malah saya rasa pakaian yang saya kenakan itu cantik dan selesa. Saya nak raikan pakaian dan fesyen kita sebenarnya,” ulasnya.

Pada masa sama, Mimi berlapang dada berdepan setiap maklum balas tidak kira positif atau negatif yang menunjukkan khalayak mengikuti Serumpun.

“Sekurang-kurangnya ada yang ambil kisah dengan apa saya keluarkan (lagu) kerana sebelum ini saya pernah berada di fasa orang tak peduli walau lagu baharu dilancarkan.

“Saya ambil semua komen dengan hari terbuka. Terima kasih dan saya akan beringat serta memperbaikinya selepas ini,” katanya.

MV Serumpun yang mencecah 300,000 tontonan dalam tempoh dua hari di YouTube mencetuskan kontroversi disebabkan pemilihan pakaian penyanyi itu yang terlalu terdedah untuk musim perayaan.

Walaupun lagu tersebut mendapat pujian kerana rentaknya yang segar dan berbeza dari lagu raya tradisional, penampilan Mimi dalam video tersebut mengundang kecaman.

Dalam MV berkenaan, Mimi mengenakan busana gelap dengan bahagian dadanya terdedah, sekali gus dilihat tidak sesuai dengan semangat Hari Raya yang biasanya dikaitkan dengan pakaian sopan dan tradisional.

Difahamkan, penampilan pakaian klasik Melayu, Jawa serta etnik Thai dalam MV terbabit sebagai simbol kepelbagaian budaya yang turut meraikan Aidilfitri walaupun berbeza asal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |