JERANTUT – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada rakyat negeri ini supaya menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Sultan Pahang mengenai isu pencerobohan tanah.
Baginda bertitah apabila kerap mendengar pencerobohan itu, baginda mula ‘naik darah’ serta memohon rakyat perlu bersama bertanggungjawab menjaga negeri ini agar tidak berlaku kejadian pencerobohan tanah berulang di negeri itu.
“Oleh itu jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang untuk mengelakkan berlaku lagi pencerobohan tanah di negeri ini.
“Sampailah masa kita bertegas tidak mahu berlaku lagi pencerobohan kawasan tanah dan hutan negeri ini dan perlu diselesaikan dengan cara yang baik. Saya pun sudah naik darah bila mengetahui ada orang menceroboh tanah negeri Pahang,” titah baginda sempena keberangkatannya bertemu penduduk di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini.
Turut berangkat bersempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini semalam, iaitu Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda berdua juga turut berkenan memberi kurnia kepada kanak-kanak dan menyantuni kira-kira 800 orang pelbagai lapisan rakyat Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Bantal Seberang dan Kampung Bukit Mat Daling termasuk tetamu yang hadir.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua ke Kampung Bantal selama tiga hari itu untuk bertemu rakyat kampung tradisional di kawasan berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Selepas santapan jamuan hari raya, baginda bertiga turut menaiki bot penambang menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampun Sungai Kuching seterusnya mengikuti aktiviti yang dijadualkan bersama rakyat di kawasan Ulu Tembeling selama tiga hari.- KOSMO! ONLINE