‘Saya ‘influencer’ tak perlu bayar kan?’

4 hours ago 4

PETALING JAYA – Seorang pemilik restoran berdepan situasi menguji kesabaran apabila seorang pelanggan yang mengaku sebagai ‘influencer’ (pempengaruh) enggan membayar selepas menikmati hidangan di premisnya.

Menerusi hantaran di Facebook Nasi Kandar Sulaiman, pengalaman tersebut dikongsikan apabila pelanggan terbabit datang bersama keluarga dan memperkenalkan diri sebagai pempengaruh TikTok dengan kira-kira 40,000 pengikut.

Menurutnya, individu berkenaan memaklumkan niat untuk merakam video promosi di kedai tersebut dan menganggap tidak perlu membuat bayaran atas alasan akan memuat naik video mengenai pengalaman makan di situ.

“Beliau datang dan kata, ‘saya influencer’. Saya pun kata ok. Lepas tu dia tunjuk akaun TikTok yang ada lebih kurang 40,000 pengikut.

“Lepas itu dia cakap tak perlu bayar kan sebab nak ambil video. Saya jawab tetap kena bayar sebab saya tak jemput dia datang,” katanya.

Nasi Kandar Sulaiman berkata, beliau tidak pernah melarang pelanggan merakam atau berkongsi video di media sosial, namun ia tidak bermakna mereka boleh menikmati makanan secara percuma tanpa sebarang persetujuan atau kerjasama promosi terlebih dahulu.

“Saya tak halang dia nak ambil video, tapi tetap kena bayar. Kalau semua buat macam ni, habislah saya bankrap. Makan pun dah lebih RM50,” katanya berseloroh.

Menerusi hantaran itu, turut dimuat naik gambar harga makanan iaitu Nasi Kandar yang diambil pempengaruh tersebut berjumlah RM53.60.

Bukan itu sahaja, menurut restoran berkenaan, selepas selesai makan, pelanggan berkenaan masih cuba meyakinkannya agar tidak dikenakan bayaran dengan alasan statusnya sebagai influencer.

“Dah makan pun masih ulang lagi ‘saya influencer’. Tapi saya tetap minta dia bayar sebab dari awal saya dah beritahu kena bayar,” jelasnya.

Perkongsian itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-rata menyokong tindakan pemilik restoran dan menegaskan bahawa status ‘pempengaruh’ bukan alasan untuk mendapatkan layanan percuma tanpa sebarang perjanjian sah dengan pihak perniagaan.

Ramai juga menganggap kejadian itu sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang mahu melakukan kolaborasi promosi agar terlebih dahulu berkomunikasi secara profesional dan tidak mengambil kesempatan atas nama ‘pengaruh’.

“Mamu habaq (beritahu) pengikut mamu pun 193,000 ada hati 40,000 nak minta makan percuma,” komen Azim.

“Taktik lama nak makan percuma, pempengaruh ke siapa ke, kalau tak dijemput buat ‘review’ bayar sahajalah. Tak ada duit ke,” komen Nars.

“Cuba mamu tanya ‘hang pempengaruh ke pengemis’, keliru pula berkali-kali kata nak makan percuma,” komen Iqbal pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |