‘Saya buat, mesti kena’ – Erma Fatima akur teguran Jakim

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Pengarah dan penerbit, Erma Fatima akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang meminta dua adegan dalam drama Bidaah dipotong selepas menimbulkan kontroversi dalam kalangan penonton.

Menurut Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 56, keputusan tersebut dibuat selepas pertemuan antara pihak produksi dan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam, Jakim yang menilai keseluruhan kandungan drama tersebut.

“Selepas pihak Jakim meneliti drama ini, mereka meminta dua babak dipotong iaitu adegan Vanidah Imran menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kaki dan babak Fazlina Ahmad Daud mencium kaki serta meminum air basuhan.

“Saya bersyukur Jakim memahami intipati sebenar drama ini. Dalam masa sama, saya mengaku ada kekhilafan apabila menampilkan babak yang dianggap keterlaluan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagaimanapun, pelakon Mak Cun itu turut meluahkan rasa pelik apabila karyanya sering menjadi sasaran kecaman sedangkan banyak drama dan filem lain turut menampilkan kisah ajaran sesat.

“Kalau drama ini terlalu keterlaluan, sudah pasti terus disenarai hitam.

“Tapi setiap kali saya buat, mesti kena! Sedangkan ada banyak drama lain paparkan kisah sama, tapi tak kena kecam seteruk ini,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai karyawan seni, dia enggan terikat dengan jalan cerita klise seperti kisah kecurangan dan ‘penyondol’ yang terlalu banyak menghiasi skrin televisyen.

“Sudah banyak drama kecurangan dan skandal. Bila saya cuba paparkan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat, ramai pula yang menghentam.

“Lebih mengecewakan, ada yang terus menghukum tanpa menonton keseluruhan drama ini,” jelasnya.

Paling penting kata Erma, setiap adegan yang dipaparkan bukan bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak tetapi sebagai cerminan realiti yang wujud dalam masyarakat.

Pemenang pelbagai anugerah pelakon juga pengarah terbaik itu turut  meminta mana-mana pihak yang ingin menegur supaya tampil secara berhemah dan tidak menghentam secara membuta tuli.

“Budaya bantai-membantai sesuka hati menjadi satu budaya pada zaman media sosial ini. Tidak kira orang itu berilmu atau tidak. Kadangkala teguran itu mencerminkan diri anda sendiri. Kalau anda golongan berilmu, tegurlah dengan cara betul.

“Apa yang saya katakan bukan bermakna tindakan saya selama ini betul, saya pun ada buat salah, tapi biarlah dengan cara berhemah,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan menegaskan bahawa sebarang karya seni perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak.

“Jakim sudah meneliti kandungan drama tersebut termasuk episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasinya kepada masyarakat.

“Kami juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan seniman dan karyawan seni dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |