PETALING JAYA – Seorang pemuda dikenali sebagai Dicky bertekad untuk membalas kebaikan yang diterimanya dengan membantu orang lain, selepas insiden motosikalnya rosak di tepi jalan baru-baru ini.
Menurutnya, dia bercadang menjejaki semula individu yang membaiki motosikalnya secara percuma bagi membayar kos berkenaan supaya bantuan itu dapat diteruskan kepada mereka yang memerlukan.
“Memang tak salah orang, abang pomen itu tolong saya semalam. Dia memang insan baik hati. Nanti saya withdraw (keluarkan) duit gift (sumbangan) orang bagi malam ini, saya nak cari abang itu dan bayar balik supaya dia boleh tolong orang lain pula,” katanya menerusi perkongsian siaran langsung di TikTok malam tadi.
Dalam masa sama, Dicky menjelaskan motosikalnya yang rosak di tepi jalan sebelum ini telah pun dibaiki dan kini berada dalam keadaan baik.
Katanya, dia turut berterima kasih kepada orang ramai yang menghubunginya untuk menawarkan bantuan susulan kejadian tersebut.
“Terima kasih kepada semua yang PM (mesej peribadi) saya untuk hulurkan bantuan. Namun, saya tidak menerima sebarang sumbangan daripada sesiapa,” katanya menerusi perkongsian siaran langsung di TikTok.
Dicky turut menegaskan bahawa sebarang akaun yang meminta sumbangan atas namanya adalah palsu dan tidak benar.
“Saya harap orang ramai tidak terpedaya jika ada pihak yang gunakan nama saya untuk kutip derma,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pemuda Cina tidak dapat menahan sebak selepas menerima bantuan membaiki motosikalnya tanpa dikenakan sebarang bayaran dalam satu kejadian yang tular di TikTok.
Menurut pemilik akaun minyakhitamjalanan, kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah malam selepas menerima panggilan daripada lelaki berkenaan yang meminta bantuan apabila motosikalnya rosak di tengah jalan.
Difahamkan, rantai motosikal lelaki itu putus selain sproket depan turut hilang, menyebabkan dia terkandas dan gagal mendapatkan bantuan daripada mekanik lain.
Dalam rakaman tersebut, Dicky dilihat tidak dapat menahan air mata selepas seorang individu tampil membantu membaiki motosikalnya tanpa meminta sebarang bayaran.
“Dia kata tak apa, tak perlu bayar apa-apa. Saya memang terharu sampai menangis,” katanya.
Tambahnya, individu terbabit turut memastikan dia selamat sebelum beredar dari lokasi kejadian.
“Dia suruh saya jalan dulu, dia nak tengok saya bergerak dengan selamat baru dia jalan. Masa itu saya memang sedih dan takut,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Dicky berkata dia kini lebih berhati-hati ketika menunggang motosikal selepas kejadian tersebut.
“Sekarang saya bawa perlahan sikit. Tak berani lagi bawa laju walaupun motor boleh pergi lebih 100 kilometer sejam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
7








![[VIDEO] Pemuda Cina sebak tak perlu bayar kos baiki motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-17-at-11.04.59-PM.jpeg)






































