UMPAMA kehilangan magis, kumpulan nu-metal, Limp Bizkit berkongsi berita duka pemergian pemain gitar bes, Sam Rivers yang meninggal dunia pada usia 48 tahun, hari ini.
Menganggap rakan seperjuangan mereka itu sebagai nadi, ahli lain mengakui legasi lebih tiga dekad mendiang di dalam band berkenaan akan sentiasa berkekalan.
“Hari ini kami kehilangan seorang ahli keluarga dan anggota kumpulan. Sam Rivers bukan hanya pemain bes kami, dia adalah magis kami. Setiap lagu yang dimainkan tenang dalam ‘kebisingan’.
“Sejak nota pertama yang kami mainkan, Sam membawa cahaya dan irama yang tidak mungkin berganti. Bakatnya luar biasa, kehadirannya tidak dapat dilupakan, hatinya begitu besar.
“Kami berkongsi begitu banyak detik liar, tenang, indah dan kesemuanya menjadi lebih bermakna kerana Sam ada di situ. Berehat dengan tenang Sam. Muzik anda tidak akan pernah mati,” tulis kenyataan itu.
Begitupun, kenyataan tersebut tidak memaklumkan punca kematian pemuzik kelahiran Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat itu.
Sekitar 2015, Rivers pernah meninggalkan band tersebut berikutan masalah kesihatan hati akibat ketagihan alkohol yang diambil sejak zaman persekolahan.
Tiga tahun kemudian beliau kembali menyertai Limp Bizkit selepas pulih sepenuhnya usai menjalani pembedahan hati.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 1994 itu turut dibarisi Fred Durst selaku vokalis, John Otto (dram, perkusi), DJ Lethal (turntable) dan Wes Borland (gitar).
Rivers memainkan peranan penting terhadap kejayaan kumpulan terbabit awal 2000 menerusi album Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water disusuli Results May Vary (2003).
Limp Bizkit yang popular dengan lagu Just Like This dan Break Stuff merupakan antara pelopor genre nu-metal yang mencetus fenomena global pada era tersebut.
Terdahulu, hantaran terakhir Rivers di Instagram dibuat sehari sebelum pemergiannya iaitu bersempena ulang tahun ke-25 salah satu album paling berjaya merela dengan kapsyen ‘nothing but love’.
Kali terakhir mereka beraksi bersama-sama adalah di Leeds Festival di Bramham Park, United Kingdom pada 24 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE