KOTA BHARU – Seorang hakim syarie hanya mampu termenung melihat cebisan kira-kira 500 kitab pelbagai pengajian Islam yang bernilai lebih RM50,000 selepas bahan bacaan itu hangus dijilat api dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Bunut Payong di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Zulkiflee Mohamed, 58, yang bertugas di Mahkamah Syariah Bachok dekat sini tiada di rumah kerana keluar menunaikan solat tarawih di Masjid Langgar di sini bersama anak lelakinya, Ahmad Hamzallah, 27.
Zulkiflee berkata, semasa kejadian, isterinya, Hamidah Mat, 58, dan anak bongsu, Ahmad Amar Faiz, 17, turut keluar menunaikan solat tarawih di dua masjid berbeza bersama menantu serta empat orang asnaf yang tinggal bersama mereka.
Menurutnya, semasa sedang menunaikan solat, dia menerima panggilan telefon daripada salah seorang anaknya kira-kira pukul 9.30 malam yang mengatakan rumah mereka terbakar.
“Saya bergegas pulang dan mendapati rumah sudah hangus dijilat api. Difahamkan, api merebak dengan cepat dalam tempoh 15 minit sehingga menyebabkan rumah saya ranap.
“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah termasuk kira-kira 500 kitab dengan sebahagiannya dibeli dari Mesir yang dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Zulkiflee memberitahu, kesemua kitab yang rata-ratanya berusia lebih 30 tahun itu disimpan di dalam tiga buah almari terbakar selain sejumlah wang tunai, barang kemas dan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger.
Katanya, penduduk kampung memaklumkan mereka melihat kepulan asap dan api menyala di ruang dapur rumahnya.
“Kebakaran mungkin tercetus daripada periuk tekanan multifungsi elektrik yang berada di dapur. Isteri saya sudah memastikan api di dapur ditutup sebelum keluar menunaikan solat tarawih.
“Meskipun mengalami kerugian hampir RM300,000, saya tetap bersyukur apabila semua ahli keluarga selamat. Saya anggap ini dugaan buat kami sekeluarga semasa menghadapi malam-malam terakhir Ramadan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.24 malam sebelum seramai 21 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE