KHARTOUM – Satu peristiwa pembunuhan beramai-ramai di sebuah hospital bersalin di Sudan yang mengorbankan 460 orang mengundang kemarahan masyarakat antarabangsa, lapor portal berita MailOnline semalam.
Tragedi berlaku hanya beberapa hari selepas insiden amukan 48 jam yang menyaksikan lebih 2,000 orang awam dibunuh oleh kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa Hospital Bersalin Saudi di El Fasher, satu-satunya pusat perubatan yang masih beroperasi di bandar itu telah diserang buat kali keempat dalam tempoh sebulan pada Ahad lalu.
Serangan turut menyebabkan seorang jururawat terbunuh dan tiga lagi petugas kesihatan cedera.
Menurut WHO, dua hari kemudian, enam petugas kesihatan termasuk empat doktor, seorang jururawat dan seorang ahli farmasi telah diculik dan lebih 460 pesakit serta ahli keluarga mereka ditembak mati di hospital tersebut oleh RSF.
“Saya sedang melakukan pembedahan di hospital ketika tembakan berlaku. Sebutir mortar mengenai hospital.
“Saya amat bimbang akan luka pesakit wanita, manakala semua orang berlari keluar untuk menyelamatkan diri,” kata Dr. Suhiba yang merupakan pakar sakit puan UNFPA iaitu agensi kesihatan seksual dan reproduktif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Negara timur laut Afrika itu terjerumus ke dalam perang saudara sejak pertengahan April 2023, apabila ketegangan yang lama membara antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF meletus menjadi perang sepenuhnya.
Susulan insiden terbaharu itu, sekutu tentera Sudan menyatakan pada Selasa lalu bahawa RSF telah melakukan jenayah kejam terhadap orang awam tidak bersenjata.
Menurut pasukan itu, lebih 2,000 orang awam kebanyakan mereka wanita, kanak-kanak dan warga emas telah dibunuh pada 26 dan 27 Oktober lalu. – AGENSI

1 month ago
31

















































