RM14.6 juta aset 1MDB berjaya dikembalikan kepada kerajaan

4 hours ago 4

PUTRAJAYA- Lebih RM14.6 juta aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya dipulihkan dan dikembalikan kepada kerajaan Malaysia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, dana diperoleh itu telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset (Assets Recovery Trust Fund) di bawah Kementerian Kewangan.

“Sebanyak RM12.9 juta telah dikembalikan kepada kerajaan hasil daripada penjualan hartanah serta pemindahan dana daripada akaun syarikat Tan Kim Loong, seorang warga Malaysia yang dikaitkan dengan Low Taek Jho.

“Pemindahan dana ke Akaun Amanah Pemulihan Aset telah berlaku pada 18 Februari, 7 dan 10 Mac 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

SPRM berkata, dalam pada itu, sejumlah RM1.6 juta dipulihkan daripada Yak Yew Chee merupakan seorang warga Singapura dan bekas pegawai bank yang disabitkan kesalahan di Singapura kerana penglibatannya dalam kes 1MDB.

Katanya, dana ini telah dikreditkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset pada 21 Januari lalu.

“Ini menjadikan jumlah pemulihan aset 1MDB keseluruhan setakat ini adalah sebanyak RM29.7 bilion iaitu 70 peratus daripada kira-kira RM42 billion yang dipercayai telah diselewengkan.

“Peratusan ini mencatatkan kadar pemulihan yang tinggi berbanding kadar pemulihan aset global hasil daripada usaha bersepadu antara agensi penguatkuasaan dan kolaborasi antarabangsa,” katanya.

Justeru, kejayaan pemulihan aset ini membuktikan keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah.

“Ia juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara SPRM dan Commercial Affairs Department (CAD) Singapura dalam memerangi rasuah serta pengubahan wang haram.

“SPRM akan terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset negara yang diseleweng serta bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam menangani kes-kes berkaitan rasuah dan jenayah kewangan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |