SABAK BERNAM – “Harap penjara ini insafkan kamu, tanam semula sahsiah diri,”
Demikian tegas Majistret Siti Hajar Ali yang menjatuhi hukuman penjara sebulan bermula hari ini terhadap seorang pembantu kedai yang mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi dilahirkannya dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Alieya Danisha Muhd. Alif Subramaniam, 18, turut dikenakan denda RM5,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayarnya. Tertuduh membayarnya.
Siti Hajar dalam penghakimannya menegaskan, hukuman itu memadai selepas mengambil kira semua faktor penilaian dan pemberatan sewajarnya seperti umur tertuduh masih muda.
“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh yang telah insaf dan kesal perbuatannya. Namun, mahkamah berpendapat kepentingan awam perlu dititikberatkan tanpa meminggirkan kepentingan peribadi tertuduh yang masih muda.
“Hukuman ini bertindak sebagai pengajaran yang menginsafkan kepada tertuduh malah sebagai pencegahan kepada rakan-rakan sebaya dan masyarakat mengenai hukuman berat akan menanti.
“Ia juga dapat memulihkan tertuduh dengan membentuk semula displin, mematuhi peraturan dan menanam semula sahsiah yang dapat mengubah sifat serta tingkahlaku tertuduh yang berpadanan dengan norma masyarakat Madani,” katanya.
Nur Alieya didakwa telah menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan cara membuang mayat baru dilahirkannya yang telah mati di dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, kira-kira pukul 11 pagi pada 23 Mac lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-keduanya mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh tidak tahu dirinya mengandung tetapi rasa sakit perut seperti senggugut. Apabila ke tandas stesen minyak itu didapati secara tiba-tiba bayi terus terkeluar jatuh ke dalam lubang.
Tertuduh panik dan terus membersihkan diri dan keluar daripada tandas dengan tertuduh juga mengesahkan tiada siapa terlibat dalam rancangan itu kerana ia berlaku secara mengejut dan bersalin dalam tandas.
Tertuduh menyatakan punca dia mengandung kerana dirogol oleh lelaki yang baru dikenali dan tidak melaporkan kepada sesiapa kerana takut.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Peguam Muhd. Muqri Mohd. Khairi dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya merupakan pembantu kedai makan dan tinggal bersama dan ditanggung seorang ibu tunggal.
“Kejadian ini merupakan
pengalaman pertama dengan tertuduh tidak boleh berfikir secara waras dan bertindak melulu pada hari kejadian. Mohon hukuman denda sesuai dengan umurnya dan membentuk dirinya menjadi insan lebih baik pada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira kekerapan kes dengan ia melibatkan nyawa seorang bayi tidak berdosa.
Kosmo! sebelum ini melaporkan suasana di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di sini, digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi di tandas wanita premis itu.
Lebih menyayatkan hati apabila mayat itu ditemukan orang awam dalam keadaan terlangkup dalam lubang tandas. -KOSMO! ONLINE