Ramai guru syukur dapat tukar, ada juga yang masih perlu PJJ

9 hours ago 3

PETALING JAYA – Suasana di media sosial hari ini dipenuhi pelbagai reaksi guru seluruh negara selepas keputusan pertukaran e-GTukar Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi Januari 2026 diumumkan semalam.

Tinjauan di media sosial mendapati ramai guru berkongsi keputusan pertukaran mereka, ada yang gembira dan ada yang kecewa.

Bagi segelintir pendidik, keputusan itu membawa khabar gembira selepas bertahun-tahun menjalani kehidupan perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan pasangan masing-masing.
Namun, tidak kurang juga yang meluahkan rasa kecewa apabila permohonan mereka sekali lagi tidak diluluskan.

Seorang guru dikenali sebagai Sakinah di aplikasi Thread melahirkan rasa syukur apabila permohonan pertukaran dari Sabah ke negeri kelahirannya, Negeri Sembilan diluluskan.

“Meski saya bujang dan bukan PJJ macam suami isteri lain, saya nak kembali ke kampung sebab abah sakit. Hari tu dah mohon tapi gagal, ni baru lulus.

“Alhamdulillah boleh nyanyi lagu Negeri Sembilan lepas empat tahun nyanyi lagu Sabah,” tulisnya.

Selain itu, seorang isteri meluahkan rasa syukur apabila suaminya akhirnya mendapat pertukaran ke Perak selepas empat kali memohon menerusi sistem e-GTukar.

Menurut @Ainurarisya, keputusan itu menamatkan episod PJJ yang mereka lalui selama ini.

“Setiap kali solat saya doa supaya suami dapat balik Perak. Mental dah ‘down’, air mata pun banyak dah tumpah, tapi saya tetap yakin dengan aturan Allah,” tulisnya di media sosial.

Katanya, rezeki kali ini membuktikan bahawa doa dan kesabaran akhirnya membuahkan hasil pada waktu yang tepat.

Dalam masa yang sama, ada juga guru yang meluahkan rasa sedih apabila hasrat untuk berpindah lebih dekat dengan keluarga masih belum kesampaian.

Menurut seorang guru lain dikenali @Ftnmj pula, dia reda apabila permohonannya untuk bertukar ke Pahang dan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh gagal diluluskan.

“Sedih sebab anak orang kurang upaya, dan dah lama PJJ dengan suami. Mungkin saya kena gila urus anak baru dapat tukar,” luahnya.

Sementara itu, seorang lagi guru wanita dikenali Siti Amira meluahkan rasa kecewa apabila masih gagal mendapat pertukaran ke negeri asal walaupun sudah lebih 20 tahun berkhidmat di perantauan.

Beliau berkata, setiap tahun tidak pernah terlepas membuat permohonan e-GTukar, sejak masih bujang hingga kini sudah berkeluarga, namun tetap tidak berjaya.

“Dulu masa mak ayah sakit pun tak dapat. Sekarang dua-dua dah tiada, masih belum rezeki.

“Pernah berkhidmat di Sabah selama lapan tahun sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, namun selepas hampir 12 tahun di sini, masih gagal. Ramai yang baru mohon dah dapat, tapi mungkin belum rezeki saya,” katanya.

Sebelum ini KPM mengumumkan enam inisiatif untuk guru yang ingin bertukar sekurang-kurangnya dua tahun perkhidmatan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ia antara penambahbaikan sistem e-GTukar yang sebelum ini menimbulkan rungutan kalangan guru kerana terpaksa menunggu lama untuk berpindah.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |