SUNGAI BULOH – Institusi Kewangan bukan bank, Provident Banc Berhad (PBB) telah menyantuni seramai 150 warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Paya Jaras dalam menyambut keberkatan bulan Ramadan ini.
Pengarah Urusan PBB, Ravin Raghu Warren berkata, sumbangan ini merupakan salah satu daripada program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat dalam membantu golongan memerlukan.
“Ini adalah antara program yang dijalankan sejak tahun lepas dan sumbangan yang diberikan berupa barangan asas seperti beras, kordial dan buah kurma untuk warga emas, anak-anak yatim, golongan asnaf dan kurang upaya.
“Dalam usaha berkongsi rezeki, kami terus komited memupuk budaya keprihatinan dan tanggungjawab sosial demi perpaduan hidup bermasyarakat tidak kira bangsa dan agama” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut di sini baru-baru ini.
Ravin menerangkan, program CSR yang dijalankan pada bulan Ramadan tahun ini disasarkan kepada beberapa kawasan, antaranya di Sungai Buloh dan kawasan lain di Lembah Kelang.
“Kami juga berhasrat untuk menyampaikan sumbangan beras kepada surau dan masjid tetapi masih lagi memperincikan lokasinya mengikut kesesuaian.
“Kami sasarkan jumlah penerima pada tahun ini diantara 500 sehingga 1000 orang” ujar beliau.
Pihaknya turut merancang bekerjasama dengan mana- mana agensi bagi meluaskan lagi program CSR pada masa hadapan.
Sementara itu, PBB juga membantu memberi sumbangan berbentuk kerusi roda kepada golongan kurang upaya.
“Tahun lepas kami telah menyumbang kerusi roda kepada PDRM dan sasaran kami pada tahun ini adalahuntuk menambah kerusi roda kepada golongan memerlukan” ujarnya.
Provident Banc Berhad (PBB) (dahulu dikenali sebagai Zico Banc Berhad) adalah sebuah institusi kewangan bukan bank yang berlesen di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Sejak penubuhannya pada 20 Disember 1991, PBB terus komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inovatif dan berorientasikan pelanggan, bertujuan untuk membantu perniagaan dan individu dalam mencapai matlamat mereka.
PBB yakin dalam kemampuannya untuk merevolusikan sektor pembiayaan penjawat awam pada masa akan datang dan berhasrat untuk menawarkan pembiayaan peribadi patuh Syariah, khususnya kepada penjawat awam yang berkelayakan. -KOSMO!ONLINE