Ramadan, Aidilfitri kali ini sunyi tanpa ayah – Anak Sabari

3 hours ago 1

JITRA – “Saya datang ke sungai ini kerana di sini dipercayai menjadi tempat terakhir ayah dilihat masih hidup. Tidak ada hari yang saya tidak doakan ayah, berdoa supaya jasadnya ditemui”

Demikian kata Dr. Suraiya Izzaty Sabari, 30, anak sulung kepada pesara Felcra, Allahyarham Sabari Baharom, 62, yang menjadi mangsa pembunuhan kejam dengan jasad dicampak ke Sungai Padang Terap, Kampung Empa, dekat sini pada September tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak boleh berbuat apa-apa kecuali berdoa dan mengharapkan keajaiban daripada Allah serta keadilan buat arwah bapanya menerusi proses perbicaraan di mahkamah.

“Kita tahu di sini tetapi kita tidak tahu pengakhirannya di mana. Saya sangat sedih, semua orang akan melalui kehilangan tetapi kalau macam ini cara (kejam), lebih susah untuk kita terima.

“Kesedihan itu masih ada, namun sudah tujuh bulan berlalu, jadi saya dah tidak menangis setiap hari. Biasanya kalau saya baca surah Yasin, saya tak dapat baca sampai habis tanpa menangis tetapi sekarang dah okay sebab dah mula terima kenyataan dan kena yakin dengan urusan Allah,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Dia ditemui ketika mengunjungi lokasi yang dipercayai menjadi tempat dua suspek mencampakkan bapanya dikatakan dalam keadaan masih hidup pada 4 September tahun lalu.

Katanya, Ramadan kali ini terasa sunyi bagi dirinya serta dua adik iaitu Nur Aina Sofiya, 29, dan Muhammad Amir Hakimi Sabari, 26, tanpa kehadiran bapa kesayangan mereka itu.

“Bulan puasa ini, kali pertama saya masak makanan yang ayah paling suka iaitu gulai ikan temenung, namun tidak akan sama macam apa yang arwah selalu buat.

“Arwah memang teruja kalau kami nak berbuka di rumahnya di Baling, dia akan masak sebelum kami sampai. Bulan puasa macam ini juga kami akan bawa ayah pergi beli baju raya tetapi tahun ini tidak ada lagi semua itu,” ujarnya.

Katanya, arwah bapa juga akan menyediakan sendiri ketupat palas bersama rendang ayam dan serunding daging untuk juadah Aidilfitri.

“Tahun ini saya beraya di rumah sebelah suami di Besut, Terengganu dan selepas itu akan beraya di rumah arwah ayah. Kali ini kami ziarah saudara mara dan rakan rapat ayah tanpa ayah,” katanya sayu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |