Raikan tradisi dan kemodenan ‘Raya Dulu & Kini’ di Central i-City

5 hours ago 1

SHAH ALAM – Sempena Hari Raya Aidilfitri, Central i-City dengan gembira meraikannya dengan tema ‘Raya Dulu &  Kini’, dari 8 Mac hingga 13 April ini dan para pengunjung boleh menikmati gabungan aktiviti tradisional dan moden, menghayati warisan kaya Malaysia sambil meraikan perayaan dengan gaya masa kini.

Lebih daripada 70 peniaga akan menyertai Bazaar Raya yang berlangsung dari 20 Februari hingga 30 Mac ini. 

Bazaar ini menjadi platform bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempamerkan produk mereka, sekaligus memberi sokongan kepada perniagaan tempatan sepanjang musim perayaan.

Dalam pada itu, sejajar dengan komitmen ‘kembali kepada masyarakat’, Central i-City akan mengagihkan pek makanan kepada 20 keluarga kurang berkemampuan dan ibu tunggal di kawasan Shah Alam, Selangor sepanjang musim Raya. 

Inisiatif ini selaras dengan falsafah pusat membeli-belah dalam memperkukuhkan semangat menghulurkan bantuan, terutama ketika musim perayaan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor,  Mohd Najwan Halimi berkata, beliau  mengiktiraf usaha Central i-City dalam menganjurkan sambutan yang menyatukan komuniti.

Mohd Najwan (hadapan tiga dari kiri) bergambar selepas menyampaikan bakul makanan dan baucer makan kepada 20 keluarga yang memerlukan.

Beliau menekankan bagaimana acara seperti ini membolehkan masyarakat dari pelbagai latar belakang etnik untuk menghayati dan menghargai budaya Melayu.  

“Dengan persembahan tradisional, hiasan perayaan, dan aktiviti interaktif, para pengunjung dapat menyelami warisan Hari Raya sambil menikmati elemen moden perayaan hari ini. 

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memelihara tradisi budaya, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan acara ‘Raya Dulu & Kini’ Central i-City.

Dalam acara itu, Mohd Najwan  turut menekankan kepentingan menyokong perniagaan kecil dan sederhana, terutama ketika musim perayaan. 

Beliau menggalakkan para usahawan tempatan untuk memanfaatkan Dana Usahawan Madani Selangor, satu inisiatif pembiayaan yang bertujuan membantu perniagaan berkembang dan berjaya.

Dengan adanya Bazaar Raya di Central i-City yang memberi platform kepada lebih 70 peniaga, beliau menegaskan bahawa peluang seperti ini membolehkan perniagaan mereka berkembang, menarik pelanggan baharu, dan merancakkan ekonomi tempatan. 

Usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka boleh meneroka Dana Usahawan Madani Selangor, yang menawarkan bantuan kewangan, latihan, dan sumber untuk menyokong pertumbuhan mereka.

Dana Usahawan MADANI Selangor (DUMS) ialah inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menyokong perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.

Mohd Najwan (kanan) mengunjungi gerai fesyen Raya dan berharap agar peniaga dapat meraih kejayaan dalam perniagaan mereka sebelum Hari Raya.

Program ini menyediakan bantuan dalam bentuk peralatan atau kelengkapan perniagaan bernilai sehingga RM30,000.

Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM2 juta untuk bantuan DUMS.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Central i-City, Alfred Chua berkata, tema Hari Raya tahun ini, ‘Raya Dulu & Kini’, meraikan kedua-dua elemen tradisi dan kemodenan. 

Menurutnya, ia mengingatkan kita untuk menghargai warisan budaya kita, daripada nostalgia balik kampung, kuih raya buatan tangan, hingga kepada cahaya pelita tradisional.

“Tradisi-tradisi ini membawa kembali kenangan manis zaman dahulu, di mana keluarga berkumpul di kampung halaman, menyediakan juadah sendiri, dan menikmati kesederhanaan Raya.

“Pada masa yang sama, kita turut menerima perubahan zaman dengan pusat membeli-belah yang dihias indah, ucapan digital Hari Raya, dan trend fesyen kontemporari,” ujarnya.

Teknologi dan perubahan gaya hidup telah mengubah cara kita berhubung dan meraikan, menjadikannya lebih mudah untuk berkongsi semangat perayaan dengan insan tersayang, tidak kira dekat atau jauh.

Walaupun zaman berubah, semangat Hari Raya tetap sama. 

Dengan hanya dua minggu lagi menjelang Hari Raya, Bazaar Raya menarik ramai pengunjung untuk membeli pakaian baharu.

Alfred berkata, semangat kebersamaan, perjumpaan keluarga, dan kegembiraan memberi tetap menjadi inti pati perayaan ini, mengingatkan kita bahawa sama ada dulu atau kini, makna Raya tetap istimewa.

“Kami telah merancang pelbagai aktiviti untuk komuniti, termasuk bengkel, persembahan budaya, dan pertandingan.

“Central i-City komited untuk menjadi tempat di mana masyarakat boleh berkumpul, meraikan, dan menikmati pengalaman membeli-belah yang hebat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Central i-City juga meraikan pencapaian luar biasa dengan kadar penghunian 95 peratus. 

Pusat membeli-belah itu berharap dapat menyambut lebih ramai peruncit menyertai perniagaannya sepanjang tahun ini. 

Baazar Raya dengan 70 gerai fesyen kini dibuka di Central i-City sehingga 30 Mac ini.

Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan daripada rakan kongsi serta pelanggan setia.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan, sekolah, dan rakan kongsi kami kerana menjayakan perayaan ini.

“Dedikasi dan kerjasama anda menghidupkan acara seperti ini, dan kami amat menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi,” kata Alfred.

Sepanjang sambutan Hari Raya yang penuh kemeriahan ini, Central i-City akan dipenuhi dengan aktiviti, pertandingan, dan persembahan menarik untuk semua peringkat umur.

Antara pertandingan menarik di situ termasuk Pertandingan Raya Bakat Star, Pertandingan Fashionista Gaya Raya, Pertandingan Mewarna Kreatif Raya, Pertandingan Tarian Raya Dulu Kini dan banyak lagi.

Selain itu, dari 8 Mac hingga 13 April, pelanggan yang berbelanja di pusat membeli-belah itu boleh menebus hadiah eksklusif Raya.

Dengan belanja RM200 pengunjung boleh menebus satu set sampul Raya, belanja RM700 pengunjung boleh menebus dua set sampul Raya dan satu set bekas eksklusif.

Manakala dengan pembelanjaan RM5,000 pengunjung boleh menebus tiga set sampul Raya dan satu set teh seramik premium dengan maksimum 8 resit dalam hari yang sama. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |