Rahadiazli tekad pikat hati Cklamovski

2 weeks ago 16

PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim berazam untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski bagi merebut tempat dalam senarai akhir skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Cape Verde dan Vietnam tidak lama lagi.

Pemain muda berusia 23 tahun mahu menebus kehampaan digugurkan daripada kem kebangsaan pada akhir tahun lalu ekoran masalah kesihatan.

“Harapan saya mahu tersenarai dalam senarai akhir nanti. Saya masih ingat kali terakhir dipanggil (skuad kebangsaan) tahun lalu tetapi malangnya tidak dapat bersama pasukan kerana isu kesihatan.

“Kali ini saya betul-betul mahu buktikan kemampuan sebenar dan memberikan segalanya sepanjang kem latihan untuk memikat hati barisan kejurulatihan (Harimau Malaya),” katanya.

Rahadiazli adalah salah seorang daripada lima pemain TFC dipanggil menyertai kem latihan pusat fasa satu selain Syed Nasrulhaq Syed Bidin, Ubaidullah Shamsul, Safwan Mazlan dan Safawi Rasid.

Selain Syed Nasrulhaq, Rahadiazli juga terpaksa bersaing dengan tiga lagi penjaga gol berpengalaman iaitu Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim), Muhammad Azri Ab. Ghani (Kuala Lumpur City) dan Muhammad Haziq Nadzli (Perak FC).

Rahadiazli sedar saingan merebut tempat dalam kesebelasan utama cukup sengit memandangkan setiap penjaga gol memiliki kelebihan yang tersendiri.

“Saya banyak belajar daripada empat penjaga gol lain yang turut terpilih dan mereka sangat membantu saya untuk terus berkembang. Saya akan berikan aksi terbaik sepanjang tempoh latihan dan percaya peluang tetap ada,” katanya.

Rahadiazli juga menganggap panggilan menyertai kem kebangsaan sebagai penghargaan terhadap prestasinya di peringkat kelab sekali gus menjadi pemangkin terus bekerja keras.

Tambahnya, biarpun sudah enam kali dipanggil menyertai kem latihan pusat, peluang kali ini lebih bermakna berikutan area bola sepak tanah air kini memasuki era baharu di bawah bimbingan Cklamovski.

Read Entire Article
Pertanian | | | |