PETALING JAYA – Penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin dan pelakon, Amar Baharin, akan memulakan kembara berbasikal ke Tanah Suci Mekah pada 27 April depan.
Kayuhan murni itu bermula dari Arau, Perlis, dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, yang berkenan melepaskan kayuhan tersebut.
Menurut Amar, idea untuk kayuhan itu tercetus selepas beliau dan Qobin sering melakukan rutin berbasikal sehingga 200 kilometer (km) seminggu.
“Setiap minggu, kami berkayuh antara 100 hingga 200 km. Jadi, tidak mustahil untuk kami berkayuh ke Tanah Haram,” katanya.
Sementara itu, Qobin memaklumkan mereka akan memulakan kayuhan dari Perlis ke Bangkok, sebelum menggunakan pengangkutan udara ke India.
“Dari India, kami akan meneruskan kayuhan melalui sempadan Pakistan, Iran, dan UAE, sebelum akhirnya memasuki Arab Saudi.
“Kami tidak akan melalui Myanmar dan Bangladesh kerana kedua-dua negara tersebut sedang bergolak dan dinasihatkan oleh beberapa pengembara sebelum ini untuk mengelakkan laluan tersebut,” katanya.
Katanya misi itu bukan bertujuan untuk mencipta rekod, tetapi merupakan salah satu impian beliau untuk mengembara ke Mekah melalui darat.
Kedua-dua pengembara itu merancang untuk berkayuh antara 80 hingga 120 km sehari dan menjangkakan tempoh perjalanan antara dua hingga dua bulan setengah untuk sampai ke Mekah dengan menggunakan dana sendiri.
Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan dan menyokong perjalanan Qobin dan Amar, mereka boleh melayari laman sesawang www.qanda.my (akan aktif pada awal April 2025), serta platform media sosial seperti Tiktok, YouTube, Instagram, dan Facebook peribadi Qobin dan Amar. – KOSMO! ONLINE