Puting beliung hentam Amerika, 27 terbunuh 

16 hours ago 3
Portal Info Live Petang Akurat Non Stop

HOUSTON, Texas – Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera kelmarin apabila puting beliung dan ribut kencang melanda keseluruhan bahagian tengah Amerika Syarikat (AS), kata beberapa pegawai.

Berita tempatan menunjukkan bumbung-bumbung rumah tercabut dan treler terbalik di tiup angin, manakala agensi meteorologi memberi amaran lebih banyak puting beliung diramalkan berlaku.

“Lapan orang terbunuh di Kansas dalam kemalangan melibatkan lebih 50 kenderaan, disebabkan jarak penglihatan terhad semasa ribut,” kata polis tempatan.

Peronda Lebuh Raya Negeri Missouri pula mengesahkan 12 kematian berkaitan ribut dan berkongsi imej bot bertindan di marina yang rosak dibadai puting beliung.

Polis di beberapa negeri melaporkan pokok tumbang dan talian elektrik terputus. Kerosakan turut berlaku pada bangunan dengan beberapa kawasan terjejas teruk akibat dibadai puting beliung, ribut petir dan hujan batu.

“Ia bencana paling menakutkan pernah saya lalui, ia berlaku sangat pantas, telinga kami hampir pecah,” kata Alicia Wilso yang dipindahkan dari rumahnya di Missouri kepada stesen TV KSDK.

Enam kematian dilaporkan di Wayne County, negeri Missouri dan tiga di Ozark County di mana beberapa kecederaan turut dilaporkan dengan masing-masing satu di Butler, Jefferson serta St Louis, kata polis.

Lebih jauh ke selatan di negeri Texas, pihak berkuasa tempatan memberitahu AFP bahawa empat orang maut dalam kemalangan kenderaan yang dikaitkan dengan ribut debu, akibat  jarak penglihatan di jalan raya terhad.

Di negeri jirannya Arkansas, beberapa pegawai berkata, tiga orang maut dan 29 cedera dalam bencana ribut.

Gabenor Arkansas, Sarah Huckabee Sanders mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas dan berkata, beliau telah bercakap dengan Presiden Donald Trump.

Sekurang-kurangnya 200,000 rumah dan perniagaan di seluruh AS terputus bekalan elektrik menjelang petang kelmarin, demikian menurut laman web pemantauan bekalan tenaga, poweroutage.us. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |