Pukul 3 petang dah berkumpul ‘cop’ tempat di Dataran Putrajaya

1 day ago 13

PETALING JAYA – Meskipun sambutan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2026 berlangsung esok, namun sudah ada keluarga dilihat mula berkumpul di sekitar Dataran Putrajaya seawal pukul 3 petang tadi.

Ini kerana mereka mahu mendapatkan lokasi terbaik menyaksikan acara tahunan berkenaan.

“Pukul 3 petang, panas lagi ini…kita pelan-pelan jalan cari port (lokasi) terbaik letak kerusi nak tengok abang bomba, abang polis, abang tentera lalu depan mata,” kata Shahidah dalam hantaran di Tnreads.

Sementara itu, pengguna Threads @riezdon93 memuat naik video memaparkan sebuah keluarga sedang membuat persiapan tempat duduk di sebelah pagar besi di pekarangan Dataran Putrajaya.

“Pukul 3.35 petang, keluarga pertama hadir di Dataran Putrajaya untuk Sambutan Hari Kemerdekaan esok. Semangat,” katanya.

Di ruangan komen hantaran pengguna tersebut, keluarga terlibat tampil memaklumkan mereka adalah individu yang dirakam.

“Kami la keluarga yang pertama sampai. Tiga keluarga,” kata @fariena_fj.

Sementara itu, dalam hantaran berbeza, pengguna @jamu.lisa sempat berkongsi beberapa tip lokasi terbaik berdasarkan pengalamannya menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya sebelum ini.

Menurutnya, lokasi paling baik adalah di sebelah kanan atau kiri pentas VVIP berhampiran Istana Kehakiman, selain kawasan di sepanjang bahagian kanan pentas berkenaan.

“Saya dah datang beberapa kali dan cuba tempat berlainan. Tempat paling baik di kanan atau kiri pentas VVIP di Istana Kehakiman.

“Selain itu, tempat yang bagus juga di sepanjang kanan pentas VVIP,” katanya.

Kata wanita itu, lokasi berkenaan mempunyai beberapa kelebihan termasuk kedudukan matahari yang berada di belakang pengunjung sekali gus tidak menyebabkan cahaya matahari terkena muka.

Selain itu, katanya, pengunjung juga dapat melihat kontinjen yang berarak selepas mereka selesai melalui pentas VVIP.

“Semua yang berarak akan telah bersedia setelah lalu di pentas VVIP. Kalau duduk di kanan pentas VVIP, dapat tengok human graphic,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sambutan Hari Kebangsaan 2026 dijangka menarik kehadiran lebih 80,000 pengunjung berikutan cuti sekolah serta pelbagai kemudahan pengangkutan yang disediakan sekitar Putrajaya.

Antaranya, perkhidmatan MRT selama 24 jam, bas ulang-alik dari stesen MRT ke tapak sambutan serta perkhidmatan teksi air bagi memudahkan pergerakan pengunjung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |