PRK Ayer Kuning: Calon BN sudah dimuktamad

5 hours ago 2

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) telah memuktamadkan calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bulan depan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, bagaimanapun nama calon tersebut akan diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, proses gerak kerja dan jentera bagi menghadapi PRK berkenaan telah pun dilaksanakan lebih awal.

“Esok saya sendiri akan berada di sana (Perak), kita akan mengadakan mesyuarat bersama di peringkat BN.

“Calon telah pun dikenal pasti dan pengumuman itu akan dibuat nanti oleh Pengerusi BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ih’ya Ramadan yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, enam nama termasuk calon muda yang disenarai pendek untuk mewakili BN pada PRK DUN Ayer Kuning mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

Untuk itu, kepimpinan tertinggi parti sedang meneliti, menyelidik serta mengambil kira pandangan orang ramai mengenai enam nama itu.

Langkah itu sebelum pihaknya memutuskan calon yang bakal dipilih dalam usaha BN dan UMNO mempertahankan kerusi berkenaan.

Jelas Mohamad Hasan, calon terpilih akan diumumkan lebih awal, seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu sekitar 5 atau 6 April supaya dapat menyesuaikan diri dan menyantuni seramai mungkin pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |