JASIN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap hodoh pihak pembangkang yang memperlekehkan tindakannya menghubungi beberapa pemimpin dunia melalui telefon bagi membincangkan usaha memulihkan keamanan di rantau ini.
Jelas beliau, tindakan mengadakan perbualan secara langsung dengan pemimpin luar bukan sekadar formaliti tetapi sebahagian daripada usaha diplomatik untuk menyatukan negara-negara yang sedang bergolak.
Ujarnya, ada segelintir wakil pembangkang di Parlimen bagaimanapun cuba mempermainkan usaha itu seolah-olah ia dilakukan tanpa tujuan yang signifikan.
“Tapi ahli-ahli Parlimen ni apa? Dia permainkan, ini Perdana Menteri telefon. Dia tidak tahu, dengan telefon itulah kita bantu damaikan Kemboja dengan Thailand.
“Dengan telefon itulah kita menyertai usaha-usaha orang lain untuk meraikan usaha kecil kita bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, hari ini.
Tambahnya, baru-baru ini beliau telah menghubungi beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi serta Perdana Menteri Pakistan dan Afghanistan bagi membantu menenangkan keadaan selepas tercetus pertempuran di sempadan dua negara itu.
Jelasnya, hubungan yang terjalin melalui panggilan telefon tersebut membolehkan Malaysia memainkan peranan aktif dalam proses damai di rantau Asia Selatan dan Asia Barat.
“Kita negara kecil, tetapi alhamdulillah, dapat penghormatan untuk bantu. Bukan kita hantar sana beratus juta ringgit, tidak.
“Cuma hanya bercakap, menggesa mereka membantu dan alhamdulillah hari ini mereka terus berunding,” jelasnya.
Menurutnya, penghormatan negara luar membuktikan suara Malaysia masih diyakini dunia, sekali gus menegaskan bahawa usaha di peringkat antarabangsa dilakukan demi keamanan sejagat, bukan untuk mencari pujian peribadi. – KOSMO! ONLINE