PM ke Bangkok, bincang isu Sungai Golok, krisis Myanmar

1 day ago 5

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berlepas ke Bangkok selepas lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia bagi menghadiri mesyuarat penting bersama Penasihat ASEAN dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

Menurutnya, pertemuan pada 17 April itu antara lain bertujuan menyelesaikan isu berkaitan Sungai Golok yang menjadi punca kepada banjir berulang di selatan Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan

Katanya, langkah itu penting sekali gus menamatkan masalah bencana itu sehingga menjejaskan kehidupan rakyat di sempadan.

“(Antara perkara yang akan dibincangkan) ialah cadangan (membina) jambatan (antara kedua-dua negara), kerja-kerja pengorekan dan pembersihan Sungai Golok yang menyebabkan kebanjiran di kawasan Selatan Thailand dan Kelantan,” katanya ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan bagi bulan April, di sini hari ini.

Anwar memaklumkan, beliau dijangka mengadakan pertemuan bersejarah bersama Perdana Menteri Myanmar, Min Aung Hlaing, menjadikan ia pertemuan pertama antara pemimpin tertinggi ASEAN dengan pemimpin junta Myanmar sejak krisis melanda negara itu.

Meskipun hubungan diplomatik ASEAN-Myanmar kini dibatasi oleh konsensus lima perkara, beliau menegaskan pertemuan itu bertujuan semata-mata atas dasar kemanusiaan kerana malapetaka yang dihadapi negara itu akibat gempa bumi agak parah.

“Jemaah Menteri turut bersetuju untuk meneruskan bantuan melalui hospital medan yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menangkis pandangan sinis segelintir pihak yang mempersoalkan keprihatinan kerajaan terhadap krisis luar negara terutama di Myanmar ketika ini berbanding isu rakyat tempatan.

“Kalau tidak selesai masalah Myanmar, (kesannya akan sampai ke sini) apabila lebih 200,000 pelarian Rohingya datang ke Malaysia. Penyeludupan chandu, opium (dadah) akan meningkat.

“Rundingan antara dua negara dan ASEAN agak terbatas. Jadi ada kebijaksanaan untuk kita rangkul kekuatan bersama,” jelasnya.

Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa gencatan senjata telah diumumkan oleh pihak Myanmar iaitu pada 17 sehingga 22 April ini selepas beliau menyuarakan permintaan tersebut mewakili Malaysia dan ASEAN.

“Saya minta diredakan dan dihentikan kegiatan ketenteraan ketika orang tengah sengsara. Mudah-mudahan dalam perbincangan saya dengan Perdana Menteri Myanmar pada 17 April ini saya minta dilanjutkan gencatan senjata itu kerana alasan kita mahu hantar pasukan SMART dan menjamin keselamatan mereka.

“Pasukan kita terbukti antara yang terbaik dalam kalangan negara ASEAN, bukan sahaja dari segi latihan, tetapi juga kelengkapan yang kita bawa. Kita boleh masuk ke kawasan yang pasukan lain sukar (ditembusi),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |