Pergerakan tanah melebihi 10 meter punca saluran paip bocor – LAP

1 month ago 27

IPOH – Pergerakan tanah yang telah ditambak melebihi 10 meter diatas paip air mentah Lembaga Air Perak (LAP) telah menyebabkan kebocoran saluran itu yang turut menjejaskan tiga kediaman di Taman Bunga Raya di sini yang mengalami keretakan dan berisiko untuk diduduki.

Menurut LAP, terdapat dua saluran paip membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh yang melalui kawasan itu iaitu paip bersaiz 825 milimeter (mm) dari intake Batu 7, Sg. Woh dan paip bersaiz 900 mm dari intake Batu 10, Sungai Batang Padang.

Katanya, LRA Bukit Temoh membekalkan bekalan air di sebahagian kawasan Batang Padang dan sebahagian Hilir Perak.

Jelasnya, kawasan-kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air di daerah Batang Padang ialah Tapah Road, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kg. Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, STMD, Jalan Temoh Station, Temoh dan kawasan sekitarnya.

Tambahnya, daerah Hilir Perak yang terjejas ialah Mukim Labu Kubong, Mukim Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kg. Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kg. Banjar, Kg. Selabak, Kg. Bahagia, Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Abdullah, Pekan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya.

“Pada 6 Februari LAP telah mengeluarkan notis gangguan bekalan air untuk melaksanakan kerja pencarian paip yang bocor dan melakukan kerja pembaikan bermula 1 petang.

“Bagaimanapun kerja-kerja tersebut terpaksa dihentikan disebabkan berlakunya pergerakan tanah disebabkan kerja pengorekan yang dalam melebihi 10 meter namun paip dan punca kebocoran belum ditemui.

“LAP telah mengambil langkah untuk menutup paip air mentah iaitu paip bersaiz 825 mm dari intake Batu 7, Sungai Woh bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah di kawasan tersebut yang menyebabkan operasi LRA Bukit Temoh beroperasi 50 peratus daripada kapasiti sebenar,” katanya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |