Penyelia kilang, penjahit dijel eksploitasi 6 warga kemboja

2 months ago 28

KLANG – Seorang penyelia kilang dan penjahit pakaian masing-masing dipenjara lima tahun dan denda RM25, 000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pengekploitasian enam warga kemboja.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhi hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Diong Yeou Chin dan Ith Eamy yang merupakan wanita kemboja masing-masing berusia 45 tahun.

Mahkamah turut memerintahkan bayaran pampasan masing-masing sebanyak RM77, 500 yang perlu diperjelaskan dalam tempoh sebulan. Sekiranya gagal boleh dipenjara selama 36 bulan.

Kedua-dua tertuduh juga dibenarkan menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi. Namun jaminan dinaikkan secara keseluruhannya sebanyak RM36, 000 kepada Yeou Chin dan RM60,000 kepada Eamy.

Hakim Zulqarnain dalam penghakimannya berkata, para mangsa secara umumnya adalah orang susah dengan dijanjikan masuk ke Malaysia melalui laluan sah dan mendapat pekerjaan serta layanan yang baik.

Namun, tegasnya, apa yang berlaku sebaliknya dibawa secara tidak sah dengan perjalanan selama empat hari merentasi sungai serta darat dari Kemboja selain kerja tanpa permit dengan pasport dipegang (majikan) dan gaji dipotong.

“Mereka juga diugut dan tidak bebas dan akhirnya terjerat dalam hutang. Malah tempat tinggal yang dikatakan asrama adalah sebuah kontena yang menempatkan 15 orang bercampur lelaki dan perempuan selain dihadangkan dengan kain.

“Mereka tidak tahan dan akhirnya lari dari kilang. Kesalahan ini merupakan kesalahan berbentuk ekonomi dan moden.

“Ia terbentuk kerana proses globalisasi di dunia ini dengan orang sanggup kerja di luar negara setelah dijanjikan kerja yang baik,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Eamy dan Yeou Chin didakwa memperdagangkan enam warga Kemboja bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan kesalahan dilakukan di tepi Jalan Yadi, Kampung Sungai Udang antara 2020 hingga 9 Ogos 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migrann (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Secara pecahan, mahkamah menjatuhi hukuman masing-masing lima tahun penjara, denda RM4, 000 dan gagal membayar enam bulan penjara untuk kesalahan terhadap lima mangsa.

Manakala seorang lagi mangsa adalah lima tahun penjara, denda RM5, 000 dan tambahan penjara enam bulan jika gagal membayarnya. Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman penjara berjalan serentak.

Peguam Tham Weng Kin dan P. Visnuvarman dalam mitigasinya memohon hukuman ringan susulan kedua-dua tertuduh menanggung anak masing-masing serta merupakan kesalahan pertama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol berharap mahkamah mengambil kira bahawa Malaysia baharu sahaja dinaikkan kedudukan Tahap 2 (Tier 2) berbanding sebelum ini berada tujuh tahun dalam Watchlist kes pemerdagangan orang.

“Poland berjaya naik ke Tier 1 dengan hukuman panjang terhadap pesalah (kes pemerdagangan manusia).

“Kedua-dua tertuduh juga telah mengaut keuntungan (hasil aktiviti ini). Jenayah ini juga telah menjejaskan hubungan kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |