Peniaga, PBT jalankan pernanan dengan adil – Sultan Pahang

2 days ago 4

PETALING JAYA – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menasihatkan para peniaga dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang agar bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.

Kesultanan Pahang dalam hantaran di Facebook berkata, baginda bertitah, dalam keghairahan untuk menyambut lebaran, sudah pasti para peniaga melipatgandakan usaha untuk sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.

“Apa jua bentuk urus niaga yang dijalankan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan, manakala PBT pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak.

“Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan agar peniaga di Pahang mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan, manakala penguat kuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil perlu penuh dengan budi-bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat dalam insiden dengan penguat kuasa DBKL pada Jumaat lalu.

Muhammad Zaimuddin Azlan yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, 28, kini dirawat di Hospital Serdang akibat kecederaan selepas bergelut dengan penguat kuasa yang cuba merampas barang jualannya.

Simpati dengan keadaan yang menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Arif Bendahara yang tiba pada pukul 12.30 tengh hari turut bertanya keadaan kesihatan semasa dan menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang kepadanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |