PETALING JAYA – Sohor di laman X nama penyanyi Aina Abdul apabila beliau hanya sekadar menduduki tangga ke-41 artis tempatan paling popular pada carta Spotify tahun ini.
Berdasarkan carta tersebut, pelantun lagu ‘Semalam’ itu dilihat berada di bawah Zizan Razak, Najwa Latif dan Luqman Podolski.
Dalam pada itu, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kekal sebagai artis popular diikuti dengan Masdo dan Projector Band.
Sehubungan itu, rata-rata peminat mempersoalkan kedudukan Aina dalam carta terbabit yang disifatkan tidak tepat.
“Aku bukan nak kutuk Aina Abdul, aku sendiri dengar lagu dia dekat Spotify. Cuma nak tahu, kenapa kedudukan dia rendah sampai macam itu,” kata Santana.
“Setiap hari dengar lagu Aina, ‘top five’ artis saya. Peminat beliau pun dah ramai dan menang bintang paling popular. Tapi kenapa carta keluar tangga 41?” luah mxmfmkr.
Sementara itu, terdapat juga pengguna yang berpandangan bahawa lagu Aina Abdul belum lagi boleh diterima oleh pendengar di Malaysia.
“Lagu dia sedap, tapi berat. Orang akan ulang lagu yang ringan dekat telinga. Aku sendiri minat dia, lagu dia. Tapi aku tak main hari-hari,” kata scarecrow.
“Saya ada cuba dengar lagu Aina. Melodi merata-rata. Hanya kerana dia mempunyai kapasiti untuk tarik, tidak bermakna nada tinggi dia sedap,” ujar Farah.
“41 tu sangat rendah untuk seorang bintang paling popular. Maksudnya dia ada berapa sahaja pendengar jika dibandingkan dengan 10 tertinggi. Sebab zaman sekarang Spotify adalah ‘benchmark’ (penanda aras) kat mana kamu dalam industri,” jelas Saddam.
Sebelum ini, Aina diumumkan sebagai Bintang Paling Popular BH (APBH) ke-36 selepas meraih undian sebanyak lapan juta.
Selain itu, Aina yang pernah mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-37 dengan lagu ciptaannya ‘Terus Hidup’ turut merangkul anugerah Penyanyi Wanita Popular APBH. – KOSMO! ONLINE