BARISAN pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dituntut untuk terus memperagakan aksi terbaik dalam aksi terakhir Liga Super sekali gus memikat hati pasukan lain untuk mendapatkan khidmat mereka musim hadapan.
Pesanan itu dititipkan oleh penolong ketua jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya selepas melihat keadaan pasukan yang semakin ‘tenat’ dalam mengharungi saingan liga.
“Tiada siapa dapat meramalkan perkara itu kerana masing-masing belum mengetahui perancangan selanjutnya daripada pihak pengurusan kelab. Motivasi terbaik boleh diberikan ialah bermain bersungguh-sungguh demi memasarkan diri mereka untuk musim hadapan.
“Paling utama kita perlu habiskan musim ini dengan persembahan terbaik kerana kebanyakan pemain dalam industri bola sepak ini perlu meneruskan perjuangan.
“Pemain perlu mempamerkan kebolehan agar dapat menarik perhatian mana-mana pasukan berminat,” katanya selepas perlawanan KDN FC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Rezal mahukan pemain KDN FC terus bermain selepas ini kerana mereka mempunyai bakat dan kualiti yang baik supaya kerier mereka dalam bola sepak terus berpanjangan.
Pada perlawanan itu, KDN FC terus dirundung malang apabila tumbang 1-2 di tangan NSFC sekali gus merekodkan kekalahan ke-20 dalam saingan Liga Super musim ini.
Kekalahan itu menyaksikan KDN FC terus berada di tangga tercorot Liga Super dengan hanya tujuh mata selain menambah koleksi bolos kepada 62 jaringan setakat ini.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Rezal akur dengan kekalahan ke-20 pasukannya, namun tetap memuji kesungguhan barisan pemainnya untuk menghadirkan diri dengan usaha sendiri.
“Boleh dikatakan kesemuanya telah memberi persembahan terbaik. Prestasi pemain juga agak berbeza kerana mungkin tempoh masa singkat selepas bertemu Johor Darul Ta’azim baru-baru ini. Jadi, pemain sukar untuk mengekalkan tahap kecergasan masing-masing,” ujar Rezal.