IPOH – Seorang pekerja ladang kelapa sawit terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah methamphetamin seberat lebih 77 kilogram (kg), lima tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian terhadap Leong Hoi Aw, 52, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Abdul Wahab memerintahkan seorang lagi tertuduh, Liew Wan Wah, 45, yang juga seorang peniaga untuk membela diri atas pertuduhan sama.
Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, Hoi Aw selaku orang kena tuduh (OKT) 2, hanya berperanan sebagai penumpang kereta mewah jenis Bentley yang membawa dadah itu dengan ia dipandu oleh Wan Wah selaku OKT 1.
Beliau berkata, mahkamah juga mendapati tiada bukti menunjukkan Hoi Aw mempunyai akses kepada kunci kereta atau mengetahui kewujudan ruangan rahsia di bahagian but kereta yang menyimpan methamphetamin seberat 74,477.8 gram, selain 3,267.0 gram (g) dadah sama yang disimpan dekat bahagian simpanan tayar tambahan kereta.
Abdul Wahab mendapati hanya OKT 1 yang mempunyai kawalan dan jagaan terhadap kereta Bentley tersebut dengan rekod menunjukkan tertuduh adalah individu yang menyewa atau membayar untuk kenderaan itu
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamin seberat 77,744.8 gram di dua lokasi iaitu di Plaza Tol Gopeng arah masuk ke Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kampar dan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar antara pukul 7.30 malam pada 23 Jun 2021 hingga pukul 2 pagi, 24 Jun 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen dengan Wan Wah diwakili peguam, P. Ravee manakala Hoi Aw diwakili peguam, Charan Singh.
Seramai 15 orang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan bersumpah sepanjang kes dibicarakan. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
7
![[VIDEO] ‘Sudah tahu tidak muat, nak juga parkir’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-08-at-20.29.48.jpeg)
















































