Peguam pun boleh berbaik, semoga peminat pun begitu

6 hours ago 7

PETALING JAYA – Di sebalik kemelut antara bekas pasangan selebriti Nur Fazura dan Fattah Amin yang terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan peminat, tular pula satu gambar memaparkan peguam yang dikaitkan dengan kedua-dua pihak berada dalam suasana santai dan mesra di mahkamah.

Gambar tersebut dimuat naik peguam Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan di Insta Story memaparkan dirinya diapit oleh dua peguam Fattah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader dan Azmi Mohd Rais ketika berada di ruang menunggu luar mahkamah.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang melihatnya sebagai gambaran profesionalisme peguam meskipun mewakili pihak bertentangan di mahkamah.

Dalam masa sama, ada yang menganggap hantaran tersebut sebagai sindiran halus buat penyokong kedua-dua belah pihak agar berhenti bermusuhan di media sosial.

“Peguam pun boleh berbaik. Peminat pun marilah berbaik,” tulis seorang pengguna sambil menyertakan tanda pagar #sayangsemua #sayangfaz #sayangwalafaz #sayangamira.

Hantaran itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya memahami mesej tersirat cuba disampaikan, iaitu mengajak orang ramai melihat sesuatu isu dari sudut lebih tenang dan matang.

Seorang pengguna berkata, biarlah urusan diselesaikan secara profesional oleh mereka yang terlibat, manakala orang luar hanya perlu mendoakan yang baik-baik.

“Biarlah mereka bertiga buat kerja untuk selesaikan semuanya, kita doa yang baik-baik untuk kedua-dua pihak semoga dipermudahkan urusan,” tulis Siti.

Seorang lagi pengguna pula berpandangan, pergaduhan di mahkamah tidak semestinya terbawa-bawa ke luar, malah hubungan profesional tetap boleh terjalin dengan baik.

“Peguam ni diorang bergaduh dalam mahkamah je, luar mahkamah sembang sekopi semeja juga,” komen seorang pengguna.

Sebelum ini kemelut antara bekas suami isteri itu kembali hangat selepas timbul isu berkaitan hak lawatan anak mereka, Nur Fatima Aisya.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, permohonan terdahulu yang dikemukakan pihak Fattah di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah ditolak pada 31 Mac lalu, namun peguam Fattah, Datuk Akberdin Abdul Kader, dilaporkan berkata pihaknya akan memfailkan semula permohonan berkaitan prosiding komital berhubung dakwaan pelanggaran perintah hak lawatan.

Pada masa sama, peguam yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, sebelum ini dilaporkan mengesahkan bahawa permohonan tersebut ditolak, selain berpandangan isu berkenaan boleh juga diselesaikan menerusi rundingan.

Untuk rekod, Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Fazura dilaporkan memfailkan permohonan cerai pada 13 September 2024 atas alasan tiada persefahaman, manakala pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |