Ops Hari Kekasih: 4 pasangan ditangkap JHEAINS

3 weeks ago 21

SEREMBAN – Empat pasangan “kekasih” di sekitar hotel bajet di Nilai, di sini, ditangkap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sempena Ops Valentine’s Day.

Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 8 malam itu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan itu membabitkan pemeriksaan di enam premis pusat urutan refleksologi dan 12 hotel bajet di Nilai, malam kelmarin.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai lapan individu berusia lingkungan 20-an hingga 40-an telah ditahan atas kesalahan berkaitan undang-undang syariah.

“Selain itu, Jabatan Imigresen turut menahan empat orang warga asing yang didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Antara empat pasangan “kekasih” yang ditangkap Jheains di sekitar hotel bajet di Nilai, di sini, sempena Ops Valentine’s Day. – IHSAN JHEAINS

Ujar Mohd. Asri lagi, semua individu yang ditahan dalam operasi yang berakhir kira-kira pukul 2 pagi itu telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi bersepadu berkenaan dijalankan di sekitar Nilai bagi membanteras aktiviti tidak bermoral, bersempena dengan Sambutan Hari Kekasih yang sering disambut oleh golongan belia.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan kepatuhan kepada undang-undang serta menjaga keharmonian agama dan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |