PETALING JAYA – Taylor’s University’s Digital Health and Medical Advancement Impact Lab telah bekerjasama dengan Prudence Foundation, Prudential Assurance Malaysia Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, dan Eastspring Investments dalam projek B.O.L.E.H. yang bertujuan melaksanakan penyelesaian komuniti inovatif dan berimpak bagi mengurangkan penularan denggi.
Diilhamkan daripada perkataan ‘boleh’, Projek B.O.L.E.H. (B40 communities Organising Local Solutions for Environmental Health) diperkenalkan dengan strategi inovatif selaras dengan World Health Organisation’s Control of Neglected Tropical Diseases dan strategi promosi kesihatan Ottawa Charter’s.
“Dengan mengguna pakai istilah boleh, kami berharap dapat melibatkan komuniti agar mereka bersatu menyokong serta membangunkan penyelesaian tempatan untuk kesihatan alam sekitar mereka.
“Inisiatif ini bukan sekadar menangani denggi; ia juga merangkumi isu-isu penting lain yang mereka hadapi, sekali gus mempromosikan kesihatan alam sekitar secara menyeluruh,” jelas Ketua Projek B.O.L.E.H dan ahli Taylor’s Digital Health and Medical Advancement Impact Lab, Dr. Jo Ann Andoy Galvan.
Projek berkenaan bermula pada November lalu di komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai, yang menempatkan 15,000 penduduk.
Komuniti ini merupakan rakan lama universiti dalam melatih bakal doktor melalui penempatan Perubatan Komuniti, membuka jalan kepada pelaksanaan penyelesaian inovatif.
Kepadatan penduduk yang tinggi dan kedudukan berhampiran Sungai Klang, yang menjadi tempat pembiakan nyamuk, menjadikan kawasan ini terdedah kepada wabak denggi.

Dr. Wong Yin How dari Taylor’s University’s Digital Health and Medical Advancement Impact Lab telah mengetuai sokongan kesihatan alam sekitar dengan memperkenalkan strategi inovatif untuk mengurangkan interaksi manusia dan nyamuk.
Antaranya termasuk pemasangan tirai udara di pintu masuk lif PPR Sri Pantai bagi menghalau nyamuk, serta pemasangan jaring nyamuk di lapan tingkat pertama bangunan.
Pasukannya juga sedang mengkaji penggunaan dron untuk mengenal pasti dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk yang sukar diakses manusia seperti longkang, tangki air di bumbung, celah pokok dan tapak pembinaan terbiar.
Dron ini juga akan menyembur larvisid bagi mengawal populasi nyamuk secara berkesan di kawasan sukar dicapai.
Intervensi bersasar itu membantu mendorong penyelesaian mampan dalam meningkatkan kesihatan alam sekitar dan mengurangkan risiko penularan denggi.
“Penularan denggi amat dipengaruhi oleh tingkah laku komuniti, menjadikan penghapusannya satu cabaran yang bergantung kepada kesediaan individu untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Perubahan ini memerlukan pembinaan kepercayaan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti. Pelaksana projek yang juga merupakan doktor, memimpin usaha ini dengan penuh empati, memacu komitmen mereka untuk mencipta perubahan berkekalan,” kata Prof. Chong Pei Pei, Pengarah bagi Digital Health and Medical Advancement Impact Lab.
Tambah beliau, ahli pasukan Impact Lab iaitu Prof. Wee Lei Hum, Dr. Sapna Shridhar Patil, Prof. Wong Eng Hwa, dan Prof. Priya Madhavan turut menyelia projek berkenaan sambil berinteraksi aktif dengan pemimpin PPR dari empat komuniti di Lembah Pantai.
Pemimpin PPR ini memainkan peranan penting dalam mendorong perubahan tingkah laku positif untuk pencegahan denggi dalam komuniti masing-masing.
Sementara itu, Dr. Galvan berkata, usaha memberdaya komuniti turut membuka peluang unik untuk membentuk pemimpin global masa depan dengan memberikan tanggungjawab kepada generasi muda untuk menerajui program berimpak di bawah bimbingan mentor mereka.
“Dengan melibatkan pelajar kami dalam projek berasaskan komuniti, kami mengilhamkan mereka untuk memahami kepentingan empati, kerjasama dan inovasi dalam memacu penyelesaian mampan.
“Ini bukan sahaja mengenai menyelesaikan masalah hari ini; ia juga tentang mempersiapkan mereka menangani cabaran kesihatan global masa hadapan dengan ketahanan dan kreativiti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.