SEBERANG PERAI – Polis telah mengenal pasti pemandu kereta jenis Proton Persona yang dirakam menunjukkan isyarat lucah ketika memandu di Kilometer 159 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Nibong Tebal, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Jay January Siowou mengesahkan telah menerima laporan berhubung penularan video memaparkan kejadian itu di aplikasi TikTok.
Menurutnya, video berdurasi 21 saat itu telah dimuat naik seorang pengguna akaun TikTok pada 28 April lalu hingga menimbulkan kegusaran awam.
“Individu yang dipercayai terlibat telah dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan aib dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE