Masuk sukan kombat, Ikmal, Hun bukan bertarung olok-olok

12 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Pelakon Hun Haqeem dan Ikmal Amry menyangkal dakwaan pertarungan mereka dalam pertandingan Fury Championship yang bakal berlangsung malam ini adalah palsu.

Sebelum ini ada tuduhan mengatakan pembabitan dua selebriti popular itu adalah sebagai gimik pelaris dan bukan bertarung secara profesional.

Menurut Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 27, tiada istilah berpura-pura kerana masing-masing mahu menang di gelanggang pertaruhan.

“Saya tak rasa ada antara kami ingin kalah dalam pertarungan ini. Masing-masing telah menjalani latihan dan berusaha keras untuk sampai ke tahap ini.

“Tujuan utama kami sertai Fury Championship adalah untuk menyokong usaha sahabat kami iaitu Jaa Suzuran dan Wafiy dalam memertabatkan sukan kombat di Malaysia.

“Apa-apa yang berlaku pada malam ini, saya serahkan pada takdir Allah SWT,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Zepp Kuala Lumpur sebelum pertarungan bermula.

Bagi Ikmal Amry pula, dia melihat Fury Championship sebagai platform golongan selebriti yang berminat dalam sukan kombat.

“Ini adalah platform terbaik untuk kami golongan selebriti menceburi sukan ini. Sudah ada ramai rakan selebriti menunjukkan minat untuk sertai selepas dapat tahu pembabitan saya dan Hun,” kongsinya.

Ditanya adakah dia tidak risau seandainya mengalami kecederaan memandangkan ketika ini terikat dengan penggambaran drama untuk slot Akasia TV3, kata Ikmal dia sudah berlatih secara profesional.

“Saya minta cuti sehari dengan pihak produksi untuk proses ‘recovery’ (pemulihan). Kecederaan pasti tidak dapat dielak tetapi ambil masa sekejap sahaja untuk pulih. Kalau ada kesan boleh tutup dengan solekan,” ujarnya.

Selain Hun dan Ikmal Fury Championship turut menampilkan 16 lagi peserta yang terdiri daripada atlet profesional dalam sukan tinju dan Muay Thai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |