[KEMASKINI] Hilang kawalan punca 3 maut di Lebuh Raya KL-Seremban

19 hours ago 9

KUALA LUMPUR – Hilang kawalan ketika mengambil susur ke kiri dipercayai punca tiga maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban menghala tol Sungai Besi, awal pagi tadi.

Kemalangan tersebut menyebabkan pemandu lelaki berusia 32 tahun beserta dua penumpang lelaki masing-masing berusia 29 dan 30 tahun maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios berwarna merah yang bergerak dari arah Pusat Bandaraya melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban telah hilang kawalan ketika mengambil susur ke kiri.

“Kereta tersebut terbabas melanggar batu konkrit pembahagi tengah jalan.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Zamzuri, siasatan masih dijalankan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi-saksi yang melihat kemalangan boleh tampil memberikan keterangan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di susur keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban menghala tol Sungai Besi, awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.57 pagi.

Ujarnya, seramai 10 orang anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dan BBP Bukit Jalil digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di lokasi, terdapat kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas melanggar pembahagi jalan susur keluar lebuh raya.

“Terdapat tiga mangsa lelaki tersepit dan anggota bomba mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |