TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini, terpaksa ditangguhkan pada petang ini berikutan keadaan cuaca buruk.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yusri Mohd. Yusoff @ Hashim berkata, keadaan cuaca yang mendung dan berawan tebal menyukarkan usaha penghantaran pasukan penyelamat kedua menggunakan pesawat AW139.
Katanya, penerbangan pesawat pada pukul 3.30 petang itu merupakan percubaan kedua selepas percubaan pertama pada pukul 12 tengah hari turut gagal disebabkan faktor cuaca yang sama.
“Sebelum ini pada pukul 10 pagi, pasukan penyelamat pertama telah menghubungi Pos Kawalan Hadapan (PKH) dan memaklumkan keadaan di lokasi mendung dan berawan tebal, menyebabkan tindakan awal pada sebelah pagi tidak dapat dilakukan.
“Jadi, kita menunggu pada sebelah petang, namun keadaan cuaca di PKH pada pukul 5 petang adalah hujan lebat dan menyebabkan operasi udara menggunakan pesawat terpaksa dihentikan,” katanya ketika ditemui di PKH di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.
Menurut Yusri, ketika ini seramai lapan anggota bomba dan seorang malim gunung berada di kawasan Bukit Berapit.
“Operasi melalui unit udara dijadual digerakkan seawal pukul 8 pagi esok dengan penghantaran pasukan pertama dan membawa keluar pasukan sedia ada dari lokasi SAR,” katanya.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
3















































