IPOH – Sebanyak 1,369 serbuan telah dijalankan Polis Perak terhadap pelbagai kegiatan perjudian haram sepanjang Op Dadu dilaksanakan sejak Januari hingga bulan lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, operasi itu menyaksikan seramai 1,652 individu ditangkap serta 1,022 unit peranti elektronik dirampas selain wang tunai berjumlah RM272,296.
Beliau menjelaskan, daripada keseluruhan operasi tersebut, sebanyak 218 serbuan dijalankan bagi kegiatan judi dalam talian, dengan seramai 232 individu telah ditangkap manakala 245 unit peranti elektronik serta wang tunai berjumlah RM25,222 dirampas.
“Kegiatan loteri awam tanpa lesen pula menyaksikan 955 serbuan dilakukan dan seramai 958 individu ditangkap selain 758 peranti dan wang tunai berjumlah RM60,760 dirampas.
“Bagi kegiatan judi dalam bangunan pula, sebanyak 17 serbuan dijalankan dengan112 individu ditangkap, selain wang tunai berjumlah RM61,301 dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkafli berkata, 29 serbuan bagi judi luar bangunan pula menyaksikan seramai167 individ ditangkap dengan wang tunai berjumlah RM57,343 dirampas.
Bagi kegiatan judi catat taruh haram, ujar beliau, sebanyak 150 serbuan telah dijalankan dan seramai 183 individu ditangkap serta 19 unit peranti elektronik dan wang tunai berjumlah RM67,670 dirampas.
Beliau berkata, selain tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap kegiatan perjudian haram, Polis Perak turut mengambil tindakan proaktif untuk mencegahnya.
“Sebanyak 91 permohonan pembatalan premis perniagaan telah diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan dan hasilnya 14 lesen perniagaan telah dibatalkan, manakala 77 permohonan masih menunggu maklum balas.
“Sebanyak 81 permohonan pemotongan bekalan elektrik di bawah Seksyen 21(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 telah diedarkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Hasilnya sebanyak 67 pemotongan bekalan elektrik di bawah Seksyen 21(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 telah dilakukan,” katanya.
Zulkafli berkata, sebanyak 46 permohonan sekatan laman web telah diedarkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan dan masih menunggu maklum balas.
“Bagi tempoh Januari hingga November 2024, sebanyak 1,377 kertas siasatan berkaitan perjudian telah dibuka. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 975 kertas siasatan telah dituduh di mahkamah.
“Manakala sebanyak 131 kertas siasatan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak pendakwa raya dan sebanyak 271 kertas siastan masih dalam tindakan pegawai penyiasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE