Objek pelik seperti torpedo ditemukan di perairan Indonesia

4 hours ago 3

JAKARTA – Tentera Laut Indonesia sedang menyiasat objek mirip  torpedo yang ditemui seorang nelayan berhampiran Selat Lombok, laluan maritim utama menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Objek panjang 3.7 meter dan lebar 65 sentimeter itu ditarik keluar dari laut pada Isnin lalu, kira-kira 10 kilometer dari pulau pelancongan popular,  Gili Trawangan dalam  wilayah Nusa Tenggara Barat, kata tentera laut.

Seorang nelayan berusia 28 tahun segera melaporkan penemuan luar biasa itu kepada pihak berkuasa tempatan, yang kemudian mengambilnya.

“Tentera laut Indonesia akan segera melakukan pemeriksaan mendalam ke atas peranti ini  untuk mengenal pasti asal usul, fungsi dan data terkandung di dalamnya.

“Angkatan Bersenjata Republik  Indonesia (ABRI)  kekal komited sepenuhnya untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan Indonesia daripada semua bentuk aktiviti tanpa kebenaran, termasuk penggunaan peranti atau peralatan bawah air oleh pihak yang tidak dibenarkan,” kata jurucakap tentera laut, Tunggul kepada AFP.

Ketua pangkalan tentera laut Mataram,  Asep Tri Prabowo berkata, objek itu berada di bawah pengawasan ketat dan akan dihantar ke Jakarta untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan awal oleh skuad bom Polis Nusa Tenggara Barat mengesahkan ia tidak mengandungi bahan letupan atau radioaktif, tambahnya.

Media Indonesia melaporkan, huruf pada objek itu menunjukkan ia mungkin dihasilkan oleh syarikat China Shipbuilding Industry Corporation. Ia kelihatan seperti peranti untuk mengukur kelajuan arus.

Ini bukanlah kali pertama objek asing ditemui di perairan Indonesia.

Pada 2021, seorang nelayan menemui sebuah seaglider di Kepulauan Selayar, Sulawesi Selatan yang disyaki oleh pihak tentera  digunakan untuk penyelidikan pemetaan lautan. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |